Rakyat Malaysia positif cacar monyet di Singapura - Utusan Malaysia

Rakyat Malaysia positif cacar monyet di Singapura

WABAK cacar monyet kini merebak di puluhan negara di seluruh dunia dengan hampir 400 kes. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Pihak berkuasa kesihatan Singapura mengesahkan kes pertama jangkitan tempatan cacar monyet.

Menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam satu kenyataan, pesakit merupakan lelaki rakyat Malaysia berusia 45 tahun yang bermastautin di Singapura dan dia disahkan positif jangkitan tersebut kelmarin.

Jelas MOH, pesakit dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan di wad Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID).

“Pesakit tiada kaitan dengan kes cacar monyet import yang diumumkan Singapura pada 21 Jun lalu.

“Pesakit menyedari kesan luka pada kulit di bahagian perutnya pada 30 Jun lalu dan seterusnya mengalami keletihan serta bengkak kelenjar limfa pada 2 Julai lepas.

“Gejala itu kemudiannya diikuti dengan demam dan sakit tekak pada 4 Julai lalu, menyebabkan pesakit mendapatkan rawatan sebelum dia disahkan positif cacar monyet,” jelas MOH.

Dalam pada itu, kementerian tersebut memberitahu, beberapa kontak rapat pesakit sudah dikenal pasti sehingga semalam, termasuk dua rakan serumahnya dan seorang kontak sosial.

Kesemuanya perlu menjalani kuarantin selama 21 hari bermula dari hari terakhir bertemu pesakit.

Sementara itu, pengesanan kontak masih dilakukan oleh MOH dan kementerian berkenaan menjelaskan, pesakit cacar monyet lazimnya sembuh dalam tempoh antara dua hingga empat minggu.

Hanya sebilangan kecil pesakit yang dijangkiti mengalami gejala serius sehingga maut. – CNA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN