Junta Myanmar mahu ganti Suu Skyi di ICJ

Junta Myanmar mahu ganti Suu Skyi di ICJ

AUNG SAN SUU KYI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE: Junta tentera Myanmar bersedia menggantikan pemimpin demokrasi yang digulingkan, Aung San Suu Kyi di mahkamah tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung kes penghapusan etnik Rohingya di negeri Rakhine.

Ketika kes itu pertama kali dibicarakan pada Disember 2019, Suu Kyi secara peribadi membentangkan hujah Myanmar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), namun beliau digulingkan dalam rampasan kuasa pada tahun lalu.

Suu Kyi yang berdepan kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia berhubung penglibatannya dalam kes itu kini dikenakan tahanan rumah oleh ketua tentera yang sama dipertahankannya di The Hague sebelum ini.

Menerusi bantahan awal hari ini, Myanmar dijangka berhujah ICJ tidak mempunyai bidang kuasa ke atas kes berkenaan dan perlu membatalkannya sebelum beralih kepada perbicaraan substantif.

Media tempatan melaporkan, junta mempunyai delegasi baharu yang diketuai Menteri Perhubungan Antarabangsa, Ko Ko Hlaing dan Peguam Negara, Thida Oo yang bakal hadir secara dalam talian.

Kedua-duanya sebelum ini dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) berikutan rampasan kuasa yang berlaku.

Kes tersebut diusulkan oleh sebuah negara Afrika, iaitu Gambia yang menuduh Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Buddha melakukan penghapusan etnik terhadap Rohingya dalam tindakan kekerasan pada 2017.

Operasi ketenteraan itu menyebabkan ratusan ribu etnik rohingya melarikan diri ke beberapa negara jiran termasuk Bangladesh dan Malaysia.

Pada Januari 2020, ICJ memerintahkan Mynamar perlu mengambil semua langkah bagi mengelakkan dakwaan tersebut.

Sementara itu, Gambia dijadualkan membuat hujah balasnya pada Rabu ini.

Dianggarkan 850,000 penduduk Rohingya ketika ini berlindung di kem pelarian di Bangladesh, manakala 600,000 lagi kekal di Rakhine. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya