Israel ganas di Tebing Barat ketika Ramadan - Utusan Malaysia

Israel ganas di Tebing Barat ketika Ramadan

SEORANG wanita Palestin menangis selepas remaja Palestin ditembak tentera Israel ketika serbuan di kampung Beit Furik di bandar Nablus, Tebing Barat. .- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Seorang remaja Palestin meninggal dunia kelmarin akibat kecederaan dialami ketika tembakan tentera Israel berhampiran Nablus di Tebing Barat menjadikannya satu lagi kematian di tengah-tengah serangan ketenteraan yang semakin memuncak.

Kementerian Kesihatan Palestin mengumumkan bahawa Mohammad Wahbi Hanani, 17, meninggal dunia selepas mengalami kecederaan kritikal semasa serbuan tentera Israel ke atas pekan Beit Furik, di timur Nablus, lapor agensi berita rasmi Palestin WAFA.

Hanani ditembak di kepala dengan peluru hidup pada petang Sabtu lalu. Dia dibawa dalam keadaan kritikal ke Hospital Kerajaan Rafidia di Nablus, sebelum disahkan meninggal dunia kemudian.

Dalam kejadian sama, seorang lagi kanak-kanak berusia 16 tahun turut cedera selepas ditembak di bahagian kaki. Pengarah Pusat Ambulans dan Kecemasan Bulan Sabit Merah di Nablus, Ameed Ahmad memaklumkan, kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Rafidia untuk menerima rawatan.

Beberapa peneroka haram Yahudi turut melancarkan serangan ganas terhadap komuniti Palestin di beberapa lokasi di Tebing Barat. Menurut laporan agensi berita  Anadolu, tiga rakyat Palestin termasuk seorang kanak-kanak cedera dalam serangan peneroka haram itu di kawasan berasingan. 

Serangan itu melibatkan tindakan memukul dan membaling batu ke arah penduduk serta kenderaan, menyebabkan kecederaan serta kerosakan harta benda.

Laman berita Al Jazeera urut melaporkan peningkatan aktiviti penerokaan haram di beberapa kampung, apabila kumpulan bersenjata menyerang rumah dan tanah pertanian penduduk Palestin berulang kali dengan kehadiran atau perlindungan tentera Israel. 

Keganasan yang meningkat itu turut membawa kepada perpindahan paksa, khususnya dalam komuniti Badwi dan kawasan luar bandar. 

Serangan peneroka haram di timur Ramallah dilaporkan memaksa 11 keluarga Palestin meninggalkan kediaman masing-masing selepas berdepan ugutan, kemusnahan harta benda dan gangguan berterusan. 

Sumber tempatan memaklumkan peneroka-peneroka itu berulang kali memasuki kawasan berkenaan, mengancam penduduk serta merosakkan khemah dan struktur kediaman.

Perpindahan tersebut mencerminkan tekanan yang semakin memuncak terhadap komuniti Palestin di Kawasan C Tebing Barat, di mana peluasan penempatan haram Israel terus dipergiatkan, sehingga  meningkatkan ketegangan dan kemusnahan di wilayah berkenaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN