BAITULMAQDIS: Israel membedil Pelabuhan Hodeidah di Yemen semalam, mendakwa tenteranya menyerang kedudukan kumpulan bersenjata Houthi, ketika tentera Zionis turut menggandakan serangan udara ke Lubnan dua hari selepas membunuh komander Hezbollah, Hassan Nasrallah.
Menurut tentera Israel, serangan ke pelabuhan itu dibuat sebagai serangan balas peluru berpandu Houthi ke Israel beberapa hari lalu.
Pihak berkuasa kesihatan melaporkan, empat terbunuh sementara 29 yang lain cedera dalam serangan tersebut.
Serangan itu dibuat ketika Israel memperhebatkan serangan di Lubnan setelah kempen pengebomannya selama dua minggu mengorbankan beberapa pemimpin kanan Hezbollah dan mengakibatkan ratusan ribu penduduk terpaksa berpindah.
Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan, serangan Israel semalam meragut sekurang-kurangnya 105 nyawa termasuk 32 di Ain Deleb di selatan negara itu dan 33 orang di Baalbek-Hermel di timur laut Lubnan.
Jelas kementerian sama, sebanyak 14 anggota perubatan turut maut dalam serangan udara selama dua hari lalu.
Israel semalam berikrar meneruskan serangan menyerang kedudukan Hezbollah.
Dron Israel terbang di ruang udara Beirut semalam, manakala beberapa letupan kuat menggegarkan ibu negara Lubnan itu.
Hezbollah dan Israel saling berbalas serangan sejak perang di Gaza bermula, sementara kumpulan Houthi di Yemen pula melancarkan bedilan ke Israel serta mengawal laluan maritim di Laut Merah. – AFP











