625,000 pelajar Gaza dinafikan hak pendidikan, walau catat kadar celik huruf tertinggi

625,000 pelajar Gaza dinafikan hak pendidikan, walau catat kadar celik huruf tertinggi

KANAK-KANAK Palestin yang dipindahkan menghadiri kelas al-Quran di sekolah Bear al-Saba di Rafah di selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Lebih 625,000 pelajar di Semenanjung Gaza gagal mendapat pendidikan selepas hampir semua sekolah musnah dan tiada universiti yang terselamat daripada serangan tentera Israel dalam tempoh lebih 100 hari perang tercetus.

Sedangkan menurut Biro Perangkaan Pusat Palestin pada 2018, rakyat Palestin mempunyai salah satu kadar celik huruf tertinggi di dunia.

Graduan Palestin juga mencatat prestasi dan produktiviti cemerlang dalam bidang seperti matematik, kejuruteraan dan perniagaan.

SEKOLAH MUSNAH

Pengeboman berterusan Israel merosakkan ratusan infrastruktur pendidikan dan menyebabkan trauma mental kepada beribu-ribu pelajar yang terkepung.

24 Januari menandakan Hari Pendidikan Antarabangsa keenam seperti yang diisytiharkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tetapi sehingga kini tiada bantuan yang dapat disalurkan dan jaminan yang dapat diberikan kepada ribuan pelajar Gaza supaya mereka dapat kembali ke sekolah dalam keadaan peperangan yang tidak tahu bila akan berakhir.

Agensi PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA); Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO) dan Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) dalam kenyataan bersama mengesahkan jumlah keciciran pelajar di wilayah itu.

Menurut agensi itu, banyak sekolah yang ditutup selepas 75 peratus daripadanya rosak mahupun musnah dibedil rejim Zionis.

“Sehingga 280 sekolah kerajaan dan 65 sekolah yang dikendalikan UNRWA musnah atau rosak.

“Kira-kira 22,500 guru juga kehilangan pekerjaan dalam sektor pendidikan, manakala 300,000 kanak-kanak tercicir pelajaran atas sebab serupa,” katanya.

Lapor Al Jazeera, kini sekurang-kurangnya 133 sekolah tidak dapat beroperasi sebagai insititusi pendidikan kerana menjadi kem perlindungan bagi penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza.

Sekolah-sekolah tersebut juga terpaksa menampung keperluan melebihi kapasitinya selepas lebih 1.9 juta orang dipindahkan.

Berikutan itu, agensi terbabit menyeru perang ditamatkan supaya pelajar Palestin serta guru boleh menyambung semula pendidikan dengan selamat.

Setakat Sabtu lalu, Kementerian Pendidikan di Gaza merekodkan 4,327 pelajar lelaki dan perempuan syahid, manakala 7,819 lagi cedera dalam operasi ketenteraan Israel.

Pada masa sama, 231 guru dan pentadbir sekolah terkorban dan 756 orang lagi cedera.

PENDIDIKAN TINGGI LUMPUH

Tidak hanya sekolah, kekejaman Israel diperluas terhadap sektor pendidikan tinggi apabila universiti dan pusat pengajian sedia ada turut lumpuh sepenuhnya.

Menurut laporan agensi berita WAFA, lebih 12 institusi pengajian tinggi di Gaza musnah, sekali gus mengganggu pembelajaran penuntut.

Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med yang berpangkalan di Geneva berkata, Israel memusnahkan setiap universiti di Gaza secara berperingkat.

Peringkat pertama termasuk pengeboman universiti Islam dan Al-Azhar.

Universiti Israa di bandar selatan Gaza pula musnah dalam serangan, yang dibuktikan menerusi perkongsian video oleh media Israel pada 17 Januari lalu.

Pihak pentadbir universiti berkata, Israel melakukan pencerobohan dan menjadikan kampus sebagai pangkalan ketenteraan dan kemudahan tahanan selama berbulan-bulan sebelum ia dimusnahkan.

Selain itu, seramai 94 profesor dan tenaga pengajar universiti turut dibunuh tentera rejim itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya