NEW YORK: Ribuan penunjuk perasaan berkumpul di Manhattan kelamrin, sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Perhimpunan aman itu menyaksikan penunjuk perasaan mengibarkan bendera Palestin berjalan dari Times Square menuju ke bangunan Konsulat Israel dan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ketika persidangan Majlis Keselamatan PBB berlangsung.
Tunjuk perasaan itu berlaku ketika tindakan segera Amerika Syarikat (AS) mengesahkan sokongannya terhadap Israel, dengan Presidennya, Joe Biden mengarahkan kapal dan pesawat perang AS mendekati sekutunya dan menghantar bantuan ketenteraan baharu.
Petang kelmarin, beberapa pertubuhan termasuk ‘Jewish Voice for Peace’ dan ‘If Not Now’ cawangan New York berarak ke rumah pemimpin majoriti Senat, Chuck Schumer di Brooklyn bagi menggesa menamatkan semua pembiayaan ketenteraan AS kepada Israel.
Schumer adalah antara pemimpin politik AS yang mengulangi sokongan untuk Israel dan ‘haknya yang tidak berbelah bahagi untuk mempertahankan diri’.
Dalam protes berasingan di Manhattan, ratusan mengibarkan bendera Israel sebagai tindak balas mengecam serangan Hamas.
Perhimpunan itu tercetus akibat peningkatan keganasan semalam yang mengorbankan ratusan dan mencederakan ribuan lagi di rantau itu, selepas kumpulan pejuang Hamas melancarkan serangan maut ke atas Israel yang bertindak balas menyerang ruang udara Semenanjung Gaza, Palestin.
“Kami berkumpul sebagai solidariti kepada rakyat Palestin yang berjuang selama 75 tahun penjajahan tentera Israel, keganasan pendudukan dan 16 tahun sekatan tentera ke atas Gaza,” kata ahli kumpulan Pergerakan Belia Palestin, Munir Atalla, 30, antara seorang penganjur demonstrasi itu.
Sementara itu, demonstrasi serupa juga diadakan di Sydney menyaksikan ratusan penduduk termasuk rakyat Palestin berhimpun dan berarak membantah kekejaman Israel di Gaza.
Mereka melaungkan slogan ‘Palestin akan bebas’ dan ‘Pendudukan adalah jenayah’ sambil membawa papan sepanduk.