KABUL: Kumpulan Taliban menahan seorang komander terkemuka yang pernah berperang bagi pihak kerajaan Afghanistan, Ismail Khan di bandar Herat.
Lapor Al Jazeera, Ismail yang merupakan salah seorang komander berprofil tinggi, diserahkan bersama gabenor wilayah dan beberapa pegawai keselamatan sebagai sebahagian perjanjian dengan Taliban.
Perkara itu dimaklumkan oleh anggota majlis wilayah Ghulam Habib Hashimi.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan butiran lanjut mengenai perjanjian tersebut.
Jurucakap kumpulan Taliban, Zabihullah Mujahid mengesahkan penahanan Ismail yang turut dikenali dengan gelaran Lion of Herat.
Berita penahanan komander itu muncul di tengah-tengah serangan yang menyaksikan 18 bandar jatuh daripada kawalan kerajaan dalam tempoh seminggu.
Kumpulan Taliban memasuki bandar Herat, pusat bandar utama di barat Afghanistan berhampiran sempadan Iran, Khamis lalu.
Beberapa gambar dan video yang menunjukkan Ismail berada dalam tahanan kumpulan Taliban, menjadi tular di laman media sosial meskipun ia tidak dapat disahkan segera.
Seorang jurucakap bagi Ismail memberitahu AFP bahawa komander itu telah dibenarkan pulang ke kediamannya selepas mencapai rundingan dengan kumpulan Taliban. – AGENSI