BAGHDAD: Tiga roket dilancarkan ke kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Iraq, awal hari ini.
Namun, serangan itu tersasar dan tidak mengenai bangunan kedutaan, sebaliknya menjejaskan tiga lokasi berhampiran.
Siri serangan terhadap tentera dan kemudahan diplomatik AS di negara ini didakwa dilakukan oleh kumpulan bersenjata pro Iran menerusi pasukan separa tentera yang ditajanya.
Semalam, 14 roket dibedil ke pangkalan udara yang menempatkan tentera AS di wilayah Anbar, menyaksikan dua anggota tentera cedera.
Kumpulan SITE berpangkalan di AS yang memantau kumpulan pelampau mendapati militan Syiah dikenali sebagai Revenge of Brigade al-Muhandis mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu.
Menurut SITE, kumpulan militan tersebut menggunakan nama sempena nama Abu Mahdi al-Muhandis yang maut dalam serangan dron AS bersama Jeneral Iran, Qasem Soleimani, awal tahun lalu. – AFP










