Trump cabar dominasi nadir bumi China - Utusan Malaysia

Trump cabar dominasi nadir bumi China

DONALD Trump dan Xi Jinping. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mula mencabar dominasi China apabila beliau dijangka melancarkan satu simpanan stok mineral dengan pembiayaan awal sebanyak AS$12 bilion (RM47 bilion) yang disahkan oleh seorang pegawai Rumah Putih kelmarin.

Ia berlaku ketika Washington berusaha mengurangkan kebergantungan kepada China yang menguasai lebih 90 peratus proses penapisan nadir bumi dunia dan hampir semua pengeluaran magnet kekal, sehingga memberikannya kawalan besar ke atas rantaian bekalan penting kepada industri moden serta pertahanan.

Projek tersebut yang pertama kali dilaporkan oleh agensi berita Bloomberg, dijangka menghimpunkan kira-kira AS$1.7 bilion (RM6.6 bilion) modal swasta dan pinjaman AS$10 bilion (RM39 bilion)  daripada Export-Import Bank of the United States (EXIM).

Pegawai Rumah Putih yang tidak mahu identitinya didedahkan berkata, dana itu akan digunakan untuk mendapatkan dan menyimpan mineral-mineral utama bagi kegunaan perniagaan seperti syarikat automotif serta teknologi bagi membentuk satu simpanan stok untuk sektor swasta Amerika.

Logam nadir bumi yang penting dalam pengeluaran pelbagai produk daripada telefon pintar hingga jet pejuang dan kenderaan elektrik (EV) telah menjadi alat tawar-menawar strategik sejak pengeluar utama, China, memperkenalkan sekatan eksport tahun lalu.

Dominasi China dalam industri unsur nadir bumi daripada simpanan semula jadi dan perlombongan sehingga kepada pemprosesan dan inovasi adalah hasil usaha berdekad-dekad lamanya.

Keadaan itu memberikan Beijing kelebihan penting dalam rundingan perdagangan dengan pentadbiran Trump.

Simpanan stok yang bakal diumumkan oleh beliau itu bertujuan untuk mengurangkan kesan pengaruh tersebut secara berperingkat.

Ia dijangka merangkumi unsur nadir bumi dan mineral kritikal, selain unsur-unsur penting lain yang berpotensi mengalami turun naik harga, lapor agensi berita Bloomberg.

Laporan itu turut menyatakan bahawa lebih sedozen syarikat, termasuk pengeluar automotif General Motors dan Stellantis, gergasi penerbangan Boeing serta syarikat teknologi Google milik Alphabet, terlibat dalam inisiatif yang dinamakan sebagai ‘Project Vault’.

Sekatan eksport oleh China telah mencetuskan kebimbangan besar di Amerika apabila dua ekonomi terbesar dunia itu sekali lagi berdepan ketegangan perdagangan, dengan tarif yang semakin meningkat selepas Trump kembali memegang jawatan presiden tahun lalu.

Washington dan sekutunya kini berlumba membangunkan rantaian bekalan perlombongan dan pemprosesan alternatif.

Namun, pakar-pakar memberi amaran proses itu dijangka mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.

Bank EXIM dijangka mengundi untuk meluluskan pinjaman 15 tahun itu, dengan menekankan ia akan menjadi perjanjian pemecah rekod, lapor Bloomberg..

Logam nadir bumi kini menjadi aset strategik sejak China selaku pengeluar utama, memperkenalkan sekatan eksport tahun lalu.

Pada April 2025, China memperkenalkan kawalan eksport ke atas beberapa unsur nadir bumi yang digunakan dalam aplikasi ketenteraan, dengan alasan kebimbangan keselamatan negara.

Beijing kemudian memperluaskan sekatan tersebut dengan keperluan pelesenan lebih ketat dan peruntukan ekstrateritorial yang menjejaskan eksport berkaitan sektor pertahanan serta semikonduktor AS.

Susulan pertemuan antara Trump dan Presiden China, Xi Jinping, pada Oktober di Korea Selatan, Beijing bersetuju menggantung kawalan terbaharu itu selama setahun sebagai pertukaran kepada pengurangan tarif timbal balik oleh AS.

Walaupun penangguhan itu bersifat sementara, Washington mempercepat usaha untuk mempelbagaikan rantaian bekalannya dengan menandatangani perjanjian bersama beberapa negara, termasuk Australia, Jepun dan Ukraine.

Simpanan yang bakal diumumkan Trump bertujuan untuk melemahkan pengaruh tersebut dari semasa ke semasa.

Minat global terhadap mineral nadir bumi melonjak di tengah ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) meramalkan permintaan bagi mineral seperti litium dan kobalt akan meningkat sehingga 30 kali ganda menjelang 2040, didorong oleh pertumbuhan pesat EV serta sistem penyimpanan bateri.

Russia juga mengambil langkah untuk mengukuhkan kedudukan, dengan Presiden Vladimir Putih mengarahkan kerajaan membangunkan strategi jangka panjang bagi perlombongan dan pengeluaran mineral nadir bumi. AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN