Diet kacang tanah di usia awal kurangkan risiko alahan

Diet kacang tanah di usia awal kurangkan risiko alahan

PENGENALAN awal kacang tanah  dalam diet harian kanak-kanak mengurangkan risiko alahan.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Laporan percubaan klinikal baharu mencadangkan memberi kanak-kanak makan kacang tanah di usia awal boleh mengurangkan risiko mereka mengalami alahan terhadap makanan itu secara drastik.

Menurut laporan kajian yang diterbitkan dalam jurnal NEJM Evidence kelmarin, kanak-kanak yang kerap diberi makan produk kacang dari bayi hingga umur lima tahun mempunyai kadar alahan kacang 71 peratus lebih rendah apabila mencapai usia remaja.

“Kajian ini harus mengukuhkan keyakinan ibu bapa dan penjaga bahawa memberi makan produk kacang kepada anak-anak mereka bermula sejak bayi mengikut garis panduan yang ditetapkan boleh memberikan perlindungan yang berkekalan daripada alahan kacang.

“Jika dilaksanakan secara meluas, strategi selamat dan mudah ini boleh menghalang puluhan ribu kes alahan kacang dalam kalangan 3.6 juta kanak-kanak yang dilahirkan di Amerika Syarikat (AS) setiap tahun,” kata Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NIAID), Dr. Jeanne Marrazzo.

Penyelidik menjejaki lebih 500 kanak-kanak yang sebelum ini mengambil bahagian dalam percubaan klinikal untuk menguji pendedahan kepada kacang tanah sebagai cara menangkis alahan terhadap makanan itu.

Separuh daripada kanak-kanak kerap mengambil kacang sejak bayi, manakala separuh lagi mengelakkan kacang.

Penyelidik mendapati, pengenalan awal kacang tanah ke dalam diet harian mengurangkan risiko kanak-kanak mengalami alahan kacang sebanyak 81 peratus pada usia lima tahun.

Kajian baharu kemudian membuat penilaian kepada kanak-kanak sama di zaman remaja dengan purata umur 13 tahun.

“Penyelidik mendapati, kanak-kanak dalam kumpulan pendedahan tidak selalu konsisten memakan kacang, malah mempunyai beberapa tempoh di mana mereka tidak makan apa-apa produk kacang.

“Ini menunjukkan, kesan perlindungan pemberian kacang tanah sejak awal bertahan dari masa ke masa, tanpa perlu mengukuhkannya dengan terus makan kacang secara konsisten melalui zaman kanak-kanak dan remaja,” jelas Marazzo

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN