Indonesia pertimbang tawaran bantuan asing, sasar padam kebakaran dalam sebulan

Indonesia pertimbang tawaran bantuan asing, sasar padam kebakaran dalam sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia akan menilai tawaran bantuan daripada negara lain untuk memadam kebakaran hutan dan tanah berdasarkan jenis bantuan yang diberikan, sambil menyasarkan semua kebakaran dipadamkan dalam tempoh kurang sebulan.

Ketika berucap pada satu forum di Jakarta, Menteri Alam Sekitar, Jumhur Hidayat menegaskan Indonesia perlu memastikan keberkesanan setiap bantuan yang ditawarkan bagi mempercepat operasi memadam kebakaran di lapangan.

Beliau tidak menyebut nama mana-mana negara, namun Malaysia sebelum ini menawarkan pesawat pemadam kebakaran, tiga helikopter dan 52 anggota bagi membantu operasi berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Singapura turut menyatakan kesediaan membantu Indonesia memadam kebakaran hutan jika diperlukan, ketika jerebu masih melanda rantau ini.

Kebakaran hutan dan tanah yang meluas berlaku di Indonesia selama beberapa minggu, menyebabkan jerebu rentas sempadan, peningkatan masalah pernafasan di tiga negara serta penutupan sekolah di Malaysia, terbaharu di Johor.

Jumhur berkata, penghantaran anggota dalam jumlah kecil mungkin memberikan kesan terhad memandangkan Indonesia sudah mengerahkan puluhan ribu petugas untuk menangani kebakaran.

Beliau berkata, perkara sama terpakai bagi bantuan pesawat pengebom air yang perlu dinilai berdasarkan keperluan operasi dan keberkesanannya, menurut agensi berita negara, Antara.

Pihak berkuasa sebelum ini memaklumkan operasi di darat lebih banyak dijalankan kerana asap yang terlalu tebal menyukarkan helikopter memasuki sesetengah kawasan.

Jumhur berkata, Indonesia menyasarkan semua kebakaran hutan dan tanah dipadamkan dalam tempoh kurang sebulan, ketika pasukan gabungan meneruskan operasi pemadaman di beberapa kawasan terjejas.

Pihak berkuasa berkata, operasi ketika ini tertumpu di wilayah Kalimantan Tengah dan Sumatera Selatan.

“Berdasarkan perbincangan dengan Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), kebakaran dijangka mengambil masa beberapa minggu untuk dipadamkan. Namun, memandangkan tahap kebakaran sudah mula menurun, diharapkan tempohnya lebih singkat daripada sebulan,” katanya.

“Namun bekalan air yang terhad dan cabaran operasi masih menjejaskan usaha memadamkan kebakaran,” kata Jumhur

Bagi menangani kebakaran yang berulang, Jumhur berkata, kerajaan merancang menghapuskan pengecualian yang membenarkan pembakaran tanah seluas sehingga dua hektar bagi setiap isi rumah mengikut amalan tradisional.

Kerajaan turut mempertimbangkan larangan menanam semula tanaman perladangan, termasuk kelapa sawit, di tanah konsesi yang pernah terbakar sebelum penanaman komersial dijalankan.

Jumhur memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan sekiranya pembakaran sengaja didapati berlaku di kawasan konsesi.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini