TEHERAN: Serangan terbaharu di seluruh Asia Barat yang menyasar kemudahan dan kapal tangki minyak memburukkan lagi gangguan terhadap bekalan tenaga global yang sudah terjejas akibat kemusnahan infrastruktur dan laluan perkapalan utama.
Harga niaga hadapan penanda aras minyak mentah Brent melonjak melepasi AS$100 setong (RM406.83) pada Rabu, menembusi paras simbolik itu buat kali pertama sejak 24 Julai, ketika konflik yang semakin memuncak mencetuskan kebimbangan terhadap aliran bekalan minyak dari rantau berkenaan.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa melancarkan peluru berpandu balistik ke arah sebuah pangkalan di Jordan yang digunakan tentera Amerika Syarikat (AS) dan menyerang 10 kapal, termasuk dua kapal milik Washington dan lapan kapal tangki minyak yang cuba merentasi Selat Hormuz pada Rabu.
Tindak balas itu dibuat selepas AS berkata, pihaknya memusnahkan lima kapal tangki minyak Iran dalam peningkatan ketara konflik yang sudah berlarutan selama enam bulan.
Markas Pusat AS (CENTCOM) menyiarkan rakaman video serangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai tindak balas terhadap IRGC yang menyasarkan sebuah kapal perang Tentera Laut AS sebanyak dua kali menggunakan peluru berpandu balistik. AS berkata, tiada rakyatnya cedera dalam insiden itu.
“Iran terus cuba menyerang kapal perang tentera laut AS dan setiap kali mereka melakukannya atau cuba berbuat demikian, mereka akan kehilangan kapal tangki,” kata Setiausaha Negara AS, Marco Rubio kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke Colombia.
Iran kemudian melancarkan serangan peluru berpandu balistik ke sebuah pangkalan yang digunakan pasukan AS berhampiran Al Azraq di Jordan, menurut kenyataan IRGC yang disiarkan media kerajaan.
Walaupun Iran mendakwa peluru berpandunya menyebabkan kerosakan besar, Jordan berkata, sistem pertahanan udaranya memintas 18 daripada 20 peluru berpandu Iran, manakala dua lagi jatuh di kawasan tidak berpenghuni dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Iran turut mengancam kapal tangki minyak di pelabuhan Kuwait dan Bahrain, menurut kenyataan yang disiarkan media kerajaan.
Sumber keselamatan maritim pula melaporkan sebuah kapal tangki gas asli cecair rosak di pelabuhan Khor Fakkan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), namun tidak jelas pihak mana yang bertanggungjawab.
Pada Selasa, kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yemen melancarkan serangan ke atas beberapa bandar serta aset syarikat minyak Arab Saudi, sekali gus menyebabkan sekutu AS itu semakin terheret dalam konflik berkenaan dan memburukkan lagi kestabilan serantau.
Serangan Houthi mencederakan 73 orang dan menyebabkan kemudahan minyak terbakar dalam perkembangan yang dilihat sebagai perluasan besar konflik.
Perang lebih luas di Teluk kini menjadi ujian kekuatan antara AS dan Iran, dengan kedua-dua pihak berharap tekanan ekonomi melalui sekatan masing-masing akan memaksa pihak lawan mengalah.
“Perkembangan terbaharu hanya mengukuhkan pandangan bahawa kita masih jauh daripada menyambung semula rundingan damai. Dalam pada itu, pasaran berkemungkinan terus mengambil kira premium risiko yang besar,” kata penganalisis ING dalam satu nota.
Penganalisis berkata, walaupun Arab Saudi mengalihkan sebahagian eksportnya daripada melalui Selat Hormuz, serangan berterusan terhadap negara itu boleh merumitkan usaha memastikan aliran minyak mentah ke pasaran global tidak terjejas.










