Myanmar janji Rohingya dari Malaysia pulang dengan selamat - Utusan Malaysia

Myanmar janji Rohingya dari Malaysia pulang dengan selamat

MYANMAR berjanji menerima kepulangan etnik Rohingya dari Malaysia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Myanmar pada Khamis berjanji untuk memastikan kepulangan secara selamat dan bermaruah bagi rakyatnya yang berpindah ke luar negara, selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta kumpulan hak asasi menyuarakan kebimbangan mengenai rancangan penghantaran pulang 1,500 orang dari Malaysia.

Kementerian Luar Myanmar turut mengulangi penolakannya terhadap minoriti Muslim Rohingya yang ditindas, yang mana para aktivis bimbang mungkin kembali terdedah kepada bahaya menerusi skim penghantaran pulang itu.

Pada Julai, Malaysia berkata, Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 anggota masyarakat Rohingya, kumpulan yang berdepan kempen diskriminasi ganas di Myanmar sejak 2017.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kedua-dua negara berkata, kumpulan pertama hampir 1,500 rakyat Myanmar akan dihantar pulang secara sukarela pada akhir September, walaupun tidak jelas berapa ramai daripada mereka ialah Rohingya.

“Myanmar komited untuk bekerjasama rapat dengan Bangladesh dan negara-negara sahabat bagi memudahkan kepulangan secara sukarela individu yang disahkan sebagai penduduk  kehilangan tempat tinggal, dalam keadaan selamat dan bermaruah,” menurut kenyataan Kementerian Luar Myanmar.

Beratus-ratus ribu Rohingya melarikan diri dari Myanmar selepas tindakan keras tentera yang kejam bermula pada 2017 dan menjadi asas kepada kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Lebih 1.2 juta Rohingya kini tinggal di seberang sempadan di Bangladesh, di penempatan pelarian terbesar di dunia tetapi  perbincangan mengenai penghantaran pulang tidak banyak menunjukkan kemajuan.

Sebanyak 126,000 lagi Rohingya tinggal di Malaysia, bersama rakyat Myanmar daripada pelbagai kumpulan etnik yang turut kehilangan tempat tinggal.

Myanmar sejak sekian lama menafikan Rohingya mempunyai warisan tersendiri, dengan mendakwa mereka ialah keturunan pendatang dari Bangladesh  malah enggan menggunakan istilah Rohingya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini