Lembaga Keamanan kemuka RM10b pelan pemulihan Gaza

Lembaga Keamanan kemuka RM10b pelan pemulihan Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Lembaga Keamanan yang disokong Amerika Syarikat (AS) mengemukakan pelan pemulihan Gaza bernilai US$2.45 bilion (RM10 bilion) pada Rabu dalam mesyuarat bersama anggota dan pihak berkepentingan, dengan usaha itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh lebih enam bulan.

Pembentangan itu berlangsung ketika pemimpin dunia seperti Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Pemimpin Turkiye, Recep Tayyip Erdogan minggu ini mengkritik keadaan kemanusiaan di Gaza serta menggesa tindakan diambil bagi menamatkan konflik dengan Israel.

Pegawai kanan dari pelbagai negara berkumpul di New York minggu ini bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Pejuang Hamas melancarkan serangan maut ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, yang mencetuskan tindak balas besar-besaran. Sejak itu, wilayah Palestin berkenaan musnah akibat serangan udara Israel.

Wakil tinggi Lembaga Keamanan bagi Gaza, Nickolay Mladenov menggesa sokongan terhadap pelan berkenaan. Namun, beliau mengakui rundingan dengan Israel bukan sesuatu yang mudah menjelang pilihan raya di negara itu, sambil menyatakan keadaan kini lebih sensitif dari segi politik.

“Memandangkan kerumitan perkara yang kita hadapi, saya fikir kita sedang mencapai kemajuan, secara perlahan tetapi berterusan,” katanya.

Turut hadir pada pertemuan Rabu itu ialah utusan khas AS, Steve Witkoff dan Jared Kushner.

Cadangan itu merangkumi 66 projek meliputi penyediaan penempatan sementara, pembersihan runtuhan dan pembangunan infrastruktur seperti pengangkutan awam, selain usaha lain bagi memulihkan ekonomi.

Pelan itu turut menggariskan usaha melucutkan senjata di Gaza, yang bermakna Hamas perlu menyerahkan senjatanya, selain pengunduran tentera Israel.

Walaupun gencatan senjata yang dipersetujui dengan pengantaraan AS pada Oktober 2025, Israel terus melancarkan serangan udara dan mengehadkan kemasukan peralatan yang menurut kumpulan antarabangsa diperlukan bagi memulakan usaha pembinaan semula wilayah itu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, baru-baru ini berkata, Israel menguasai 60 peratus daripada Semenanjung Gaza.

Presiden AS, Donald Trump merupakan pengerusi Lembaga Keamanan, yang pada asalnya dibentuk bagi mengawasi gencatan senjata di Gaza serta pembinaan semula wilayah itu selepas perang antara Hamas dan Israel.

Angka PBB menunjukkan sehingga Oktober 2025, serangan Israel menyebabkan 84 peratus daripada keseluruhan struktur di Gaza rosak atau musnah.

Israel menegaskan pihaknya perlu menghapuskan ancaman daripada Hamas yang melancarkan serangan luar biasa pada 7 Oktober 2023.

Lembaga itu pada Rabu memaklumkan kerosakan di seluruh Gaza dianggarkan mencecah AS$35.2 bilion (RM143.7 bilion), manakala usaha pemulihan memerlukan kira-kira AS$71.4 bilion (RM291.48 bilion).-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×