PETALING JAYA: Sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada waris 25 keluarga daripada keseluruhan 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan selepas tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal telah diambil setakat ini.
Wakil Solidariti Malaysia: Famili Dalam Harapan (MASFIH), Dr. R. Manivanna berkata, dia antara waris yang telah berbuat demikian bersama dengan empat lagi ahli keluarganya bagi membantu proses padanan identiti mangsa.
Beliau berkata, adiknya Komathi Rethinam, 48, dilaporkan masih belum dapat dikesan selepas ke negara itu untuk mengikuti upacara keagamaan ke Gunung Kailash di Tibet, China.
“Polis telah datang ke rumah kami di Cheras untuk mengambil sampel DNA, lima ahli keluarga menyerahkan sampel melibatkan ibu bapa, anak mangsa dan dua adik-beradik,” katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya, terdapat waris yang diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi menyerahkan sampel DNA dan beliau difahamkan pihak berkuasa menyasarkan proses pengumpulan sampel semua keluarga diselesaikan minggu ini.
Ujarnya, waris turut diminta menyerahkan barangan peribadi mangsa seperti berus gigi, sikat rambut dan berus maskara selain memberikan maklumat berkaitan pakaian, jenama barangan, telefon bimbit, kasut serta tanda fizikal pada tubuh mangsa.
“Semua maklumat ini diperlukan untuk membantu proses pengecaman sekiranya jasad yang ditemukan belum dikenal pasti,” jelasnya
Dalam pada itu, katanya, dia dimaklumkan Kementerian Luar akan menghantar pasukan rasmi ke Kathmandu bagi membantu urusan konsular dan operasi di lapangan.
“Kehadiran pasukan itu penting bagi mendapatkan maklumat secara terus serta membantu proses pengecaman mangsa di hospital dan lokasi penyimpanan jasad,” ujarnya.
Pada 30 Ogos lalu, Kementerian Luar memaklumkan waris rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan digalakkan menjalani ujian DNA sebagai persediaan awal susulan penemuan beberapa jasad yang belum dikenal pasti dan terpaksa dikebumikan segera berikutan ketiadaan fasiliti penyimpanan bersesuaian.
Sebelum ini, rakyat Malaysia yang dilaporkan tidak dapat dihubungi kekal 36 orang di China dan 55 di Nepal susulan banjir kilat dahsyat serta tanah runtuh di Daerah Rasuwa, Nepal pada 26 Ogos.
Agensi Anadolu melaporkan angka korban akibat bencana itu meningkat kepada kepada 1,220 orang manakala sebanyak 4,762 orang termasuk 844 warga asing masih hilang. – UTUSAN










