HAVANA: Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel menegaskan negara pulau itu tidak akan sekali-kali kembali menjadi tanah jajahan kepada mana-mana ‘empayar’ selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memuat naik sekeping peta yang memaparkan wilayah tersebut dan beberapa kawasan lain di bawah bendera AS.
Trump memuat naik peta berkenaan pada Isnin di platform Truth Social miliknya. Gambar tersebut menunjukkan warna bendera AS meliputi Mexico, Kanada, Cuba, Greenland, Iceland, serta sebahagian kawasan Caribbean dan Amerika Tengah.
“Cuba amat memahami ertinya pernah menjadi tanah jajahan dan neo-jajahan kepada dua empayar.
“Darah yang telah terkorban demi kemerdekaan, kedaulatan dan penentuan nasib sendiri tidak akan disia-sia dan kami akan mempertahankannya hingga ke tahap yang paling akhir,” tulis Diaz-Canel di platform media sosial X tanpa merujuk secara khusus kepada hantaran Trump itu.
Menteri Luar Cuba, Bruno Rodriguez merujuk kepada hantaran berkenaan dengan memberikan maklum balas secara sinis bahawa kerajaan AS bakal menyebabkan rakyatnya sendiri keliru dari segi geografi.
“Tidak lama lagi mereka tidak akan tahu di teluk, tasik, bangunan, negara, benua atau planet mana mereka berada,” tulis Rodriguez dalam satu hantaran di media sosial.
Kenyataan pihak Cuba itu menyusul ketika hubungan antara Havana dan Washington berada dalam fasa ketegangan paling tinggi dalam tempoh beberapa dekad.
Pentadbiran Trump melaksanakan dasar tekanan maksimum terhadap Cuba sejak awal 2026, termasuk sekatan minyak dan sekatan sekunder yang diperkenalkan pada Mei lalu yang menyukarkan syarikat asing daripada beroperasi di pulau berkenaan.
Washington turut mengekalkan kemungkinan campur tangan tentera, yang menjadi punca kebimbangan utama bagi kerajaan Cuba.
Rodriguez memaklumkan pada Isnin, sekatan ekonomi AS menelan kos sebanyak AS$8.08 bilion (RM32.9 bilion) terhadap Cuba antara Mac 2025 hingga Februari 2026, iaitu angka tertinggi yang pernah direkodkan bagi tempoh 12 bulan dan meningkat tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya.
Beliau menyifatkan tindakan Washington itu sebagai satu hukuman kolektif yang kejam terhadap penduduk Cuba. Ekonomi Cuba turut terjejas teruk berikutan krisis tenaga yang berlarutan.
Ekonomi negara berkenaan menguncup sebanyak 15 peratus antara 2020 hingga 2025, manakala ramalan bebas mengunjurkan kemerosotan tambahan sehingga 10.3 peratus pada tahun ini. -AGENSI









