Tuna sirip biru gergasi ditangkap buat pertama kali dalam tempoh enam dekad - Utusan Malaysia

Tuna sirip biru gergasi ditangkap buat pertama kali dalam tempoh enam dekad

LIMA anggota kru bot The Dominator berjaya menangkap ikan tuna sirip biru gergasi seberat 338kg di pantai Yorkshire. - 54 NORTH MARITIME TRAINING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Sekumpulan nelayan berjaya menangkap ikan tuna sirip biru Atlantik di perairan luar pantai Yorkshire, United Kingdom (UK) buat pertama kali dalam tempoh kira-kira enam dekad.

Ikan seberat 338 kilogram (kg) itu ditangkap oleh lima anggota kru yang menaiki bot The Dominator baru-baru ini, kira-kira 16 kilometer dari Pelabuhan Whitby.

Spesies berkenaan diperca­yai tidak lagi ditemukan di Laut Utara sejak 1960-an akibat penangkapan berlebihan dan kemerosotan populasi ikan hering yang menjadi antara sumber makanan utamanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anggota kru, Jack Gardner, 28, dari kampung Paull berhampiran Hull mengaku tidak pernah menangkap ikan sebesar itu sepanjang pengalamannya bersama The Dominator sejak 2018.

“Ia pengalaman istimewa yang tidak akan pernah dilupakan. Kami tahu ikan itu ada di perairan berkenaan, cuma persoalannya sama ada kami mampu menangkapnya atau tidak kerana ikan itu yang sangat pantas.

“Pertarungan (menangkap  tuna) itu jauh lebih sukar daripada yang saya jangkakan. Kuasanya memang luar biasa,” katanya.

Penyelidik dari Universiti Exe­ter, mengesahkan tangkapan itu sebagai satu detik bersejarah bagi kawasan berkenaan.

Jelasnya, tuna yang baharu ditangkap kru berkenaan jauh lebih besar dan berkemungkinan mem­punyai perbezaan genetik berbanding ikan yang telah dipasang tanda pengesan sebelum ini.

Ikan itu dilaporkan sudah dijual sebelum The Dominator tiba semula di Whitby. Kru itu turut mengulangi kejayaan pada keesokan harinya apabila berjaya mendaratkan seekor lagi tuna sirip biru seberat lebih 300kg.

Pembeli daripada Hook to Plate, Lance Varrell menyifatkan ikan itu berkualiti tinggi. Beliau berkata, daging ikan itu akan diedarkan kepada restoran, pasaran sushi serta pelanggan khusus.

“Tuna sirip biru sangat popular. Ia ikan premium dan digelar ‘Rolls-Royce lautan’,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini