Sebanyak 1,800 tan metrik emas disimpan ‘di bawah bantal’ - Menteri Indonesia - Utusan Malaysia

Sebanyak 1,800 tan metrik emas disimpan ‘di bawah bantal’ – Menteri Indonesia

GAMBAR fail kepingan jongkong emas di sebuah kedai di Jakarta. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Menteri Koordinator Bidang Perekonomian, Airlangga Hartarto berkata, Indonesia mempunyai kira-kira 1,800 tan metrik emas yang tidak dimanfaatkan, dengan sebahagian besar daripadanya dimiliki secara persendirian dan tidak dilaburkan melalui sistem kewangan.

Angka itu berdasarkan data Persatuan Pasaran Bulion Indonesia (IBMA), yang menganggarkan kira-kira 1,800 tan emas di Indonesia ketika ini tidak digunakan sebagai aset pelaburan.

Airlangga menggambarkan emas berkenaan sebagai disimpan ‘di bawah bantal’, merujuk kepada emas yang dimiliki individu di luar instrumen kewangan rasmi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau menganggarkan nilai emas yang berada di luar sistem kewangan itu sekitar AS$252 bilion (RM1 trilion).

Menteri itu menggesa agar lebih banyak emas milik persendirian disalurkan ke dalam perbankan bulion dan instrumen kewangan lain, termasuk yang ditawarkan syarikat pajak gadai milik kerajaan, Pegadaian dan Bank Syariah Indonesia (BSI).

“Jadi, apa tugas Pegadaian atau BSI dengan AS$252 bilion ini? Mungkin 20 peratus daripadanya beralih daripada disimpan ‘di bawah bantal’ kepada instrumen kewangan atau instrumen perbankan di BSI atau Pegadaian,” kata Airlangga ketika pelancaran IBMA di Menara BSI di Jakarta pada Khamis.

Kerajaan berharap pemindahan sebahagian emas yang tidak dimanfaatkan itu ke dalam sistem kewangan rasmi dapat membuka nilai ekonominya.

Jumlah emas yang diuruskan institusi kewangan masih agak kecil berbanding anggaran 1,800 tan yang berada di luar sistem pelaburan.

Pegadaian kini mengurus kira-kira 153 tan emas, manakala BSI mengurus sekitar 20 tan. Secara keseluruhannya, kedua-dua institusi itu mengurus kira-kira 170 tan emas.

Sementara itu, Bank Indonesia mempunyai kira-kira 70 tan rizab emas, menurut Airlangga. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini