Pemimpin pelajar India tamatkan mogok lapar selepas 16 hari

Pemimpin pelajar India tamatkan mogok lapar selepas 16 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANCHI: Seorang aktivis di negeri Jharkhand, timur India, menamatkan aksi mogok lapar yang berlarutan selama 16 hari selepas kerajaan tempatan bersetuju memenuhi tuntutan penunjuk perasaan untuk membatalkan peperiksaan pengambilan jawatan awam yang kontroversi.

Devendra Nath Mahto menamatkan mogok laparnya di hadapan menteri-menteri negeri di sebuah hospital di ibu negeri Ranchi, selepas beliau dimasukkan ke wad minggu lalu akibat kesihatannya yang merosot.

Beliau merupakan antara figura utama dalam siri protes yang bermula sejak 25 Julai lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tunjuk perasaan itu tercetus berikutan dakwaan berlakunya ketidakselarasan dan penipuan dalam peperiksaan pengambilan jawatan kerajaan.

Di India, jawatan perkhidmatan awam menjadi rebutan jutaan calon setiap tahun kerana menawarkan jaminan kerjaya dan kestabilan masa depan.

Gelombang bantahan di Jharkhand mula memuncak selepas keputusan peperiksaan awal perkhidmatan awam diumumkan bulan lalu, di mana calon mengesan keanehan pada helaian jawapan yang tular di media sosial, sekali gus mencetuskan syak wasangka wujudnya manipulasi keputusan.

Tekanan politik tersebut memaksa kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Hemant Soren membatalkan peperiksaan berkenaan serta melancarkan siasatan menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (CID) negeri yang menyaksikan penangkapan beberapa individu termasuk ketua Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Jharkhand.

Meskipun mogok lapar telah ditamatkan, para penunjuk perasaan menegaskan bantahan aman tidak akan dihentikan sepenuhnya sehingga Pejabat Siasatan Pusat (CBI), agensi penyiasat utama India mengambil alih siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dalam peperiksaan lain, termasuk  Peperiksaan Peringkat Siswazah Bersepadu Suruhanjaya Pemilihan Kakitangan Jharkhand (JSSC-CGL).

Pada malam Isnin, Soren mengumumkan peperiksaan tersebut turut dibatalkan.

Ketua Menteri itu memberitahu wartawan, banyak fakta mengejutkan sedang terbongkar berikutan siasatan CID terhadap ketidakselarasan peperiksaan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut sambil menegaskan bahawa perkara tersebut masih dalam siasatan.

Beliau turut mengumumkan kesemua peperiksaan yang dikendalikan oleh agensi swasta TSR Data Processing Private Limited (TDPL) iaitu syarikat yang memenangi tender berkenaan akan dibatalkan.

Selain itu, siasatan ke atas peperiksaan pengambilan jawatan yang diadakan sejak 2014 juga akan dilancarkan, meskipun status nasib calon yang telah lulus peperiksaan tersebut masih belum jelas sekiranya siasatan menemui sebarang penyelewengan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini