Harga makanan dijangka naik akibat serangan Ukraine - Utusan Malaysia

Harga makanan dijangka naik akibat serangan Ukraine

IMEJ satelit kelmarin menunjukkan kapal-kapal yang mengalami kerosakan teruk di pangkalan tentera laut Novorossiysk di Russia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Harga makanan dijangka meningkat susulan serangan Ukraine terhadap infrastruktur bijirin dan pertanian Russia yang dibimbangi akan memburukkan lagi kekurangan bekalan makanan global.

Amaran itu disuarakan Russia kelmarin ketika Moscow dan Kyiv saling melancarkan serangan terhadap pelabuhan utama dan kemudahan eksport di kedua-dua belah Laut Hitam.

Jurucakap Kementerian Luar Russia, Maria Zakharova me­nuduh Ukraine cuba mengganggu pasaran makanan global selepas beberapa siri serangan terhadap pelabuhan Novorossiysk di Laut Hitam, mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang kanak-kanak.

Serangan itu turut memaksa beberapa terminal bijirin utama menghentikan operasi.

Zakharova berkata, serangan terhadap infrastruktur pertanian Russia memburukkan kekura­ngan bijirin dan baja, selain meningkatkan tekanan terhadap negara-negara di Selatan dan rantai Timur.

Sejak musim panas Ukraine meningkatkan serangan terhadap infrastruktur ekonomi Russia yang didakwa menyokong usaha perang Moscow, termasuk kemudahan eksport pertanian.

Beberapa jam selepas tuduhan Russia itu, pihak berkuasa tempatan Ukraine berkata, tentera Russia menyerang kawasan pelabuhan Izmail di wilayah Odesa, selatan Ukraine, pada malam sebelumnya sehingga menyebabkan kerosakan dan kebakaran.

Izmail, yang terletak berhampiran sempadan Ukraine dengan Romania, merupakan pelabuhan Danube terbesar negara itu dan mengendalikan eksport bijirin serta komoditi lain.

Pelabuhan berkenaan menjadi semakin penting bagi eksport Ukraine sejak pencerobohan Russia mengganggu laluan perkapalan tradisional di Laut Hitam.

Peningkatan serangan itu me­nimbulkan kebimbangan terhadap gangguan lebih besar terhadap bekalan bijirin global.

Kementerian Pertanian Uk­raine berkata, penghantaran bijirin merosot 76 peratus dalam tempoh dua minggu pertama Ogos berbanding tempoh sama tahun lalu.

Harga niaga hadapan bijirin turut melonjak pada Rabu selepas serangan Ukraine terhadap Novorossiysk, mencerminkan ke­bimbangan pasaran terhadap keselamatan bekalan.

Russia merupakan pengeks­port gandum terbesar dunia. Ukraine juga antara pembekal utama bijirin global. Serangan Russia terhadap kapal dan infrastruktur pelabuhan Ukraine di Laut Hitam sebelum ini menyebabkan penghantaran bijirin Ukraine melalui laluan laut merosot dengan ketara. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×