AS akan serang ketika Iran dilanda tekanan ekonomi - Utusan Malaysia

AS akan serang ketika Iran dilanda tekanan ekonomi

AMERIKA Syarikat (AS) akan menyerang lagi Iran ketika negara itu berdepan dengan sekatan ekonomi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) tidak menolak akan melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran ketika pentadbiran Presiden Donald Trump mening­katkan tekanan ekonomi terhadap negara itu.

Ancaman terbaharu itu dibuat oleh Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth pada Isnin de­ngan berkata, tekanan ekonomi ketika ini merupakan perkara yang paling menjejaskan Iran selepas Washington bersama Israel menye­rang Teheran pada 28 Februari.

Kemudian, ketika Iran terus menguasai Selat Hormuz titik tekanan yang hanya menjadi faktor penting selepas Trump, berusia 80 tahun itu mula-mula berasa kecewa dengan situasi konflik tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun,  Hegseth menambah bahawa Washington sama sekali tidak menolak kemungkinan melancarkan sera­ngan di mana-mana sahaja di Selat Hormuz atau sekitar Iran.

Bercakap selepas menyampaikan ucapan kepada pekerja industri pertahanan di Oshkosh, Wisconsin, Hegseth memberi amaran bahawa AS  akan bertindak balas jika Iran melampaui batas atau mengganggu tentera Amerika. 

Beliau turut menggesa kontraktor pertahanan supaya ber­alih kepada persediaan untuk berhadapan dengan situasi pe­rang.

Ketika ditanya sama ada serangan secara langsung kini dihentikan sementara, Hegseth menjawab: “Tidak. Jika kita perlu menggunakan serangan secara langsung, kita akan menggunakannya.”

Beliau turut mendakwa AS  masih menguasai Selat Hormuz, menyifatkan sekatan itu sebagai tidak boleh ditembusi dan berkata, Iran tidak mampu mengangkut minyak melalui laluan laut berkenaan, manakala AS mampu melindungi pelayaran kapal.

Hegseth berkata pentadbiran itu menjangkakan Kongres meluluskan sepenuhnya peruntukan AS$1.5 trilion (RM6 trilion) yang diminta untuk sektor pertahanan.

Kelulusan itu dijangkakan  walaupun anggota Kongres meluluskannya dalam sesi peralihan selepas pilihan raya pertengahan penggal November dan sebelum wakil-wakil rakyatnya yang baharu dipilih memulakan tugas pada Januari.

Beliau menyifatkan pembe­lian peluru dan senjata sebagai sesuatu yang amat penting dan berkata, Pentagon telah memeterai perjanjian jangka panjang untuk meningkatkan bekalan beberapa jenis peluru dan senjata keutamaan sebanyak dua, tiga atau empat kali ganda.

Beliau turut enggan mengulas laporan bahawa stok peluru berpandu jarak jauh ATACMS milik AS telah berkurangan dengan ketara, dengan berkata, tentera Washington mempunyai bekalan yang mencukupi.

Sementara itu,  Iran mempunyai pelan dua tahun untuk menghadapi sekatan ekonomi AS. Pendedahan itu dibuat selepas Washington mengumumkan langkah baharu pada Isnin untuk memutuskan hubungan ekonomi dengan Teheran dan mengancam negara yang terus bekerjasama dengan Iran.

Menteri Ekonomi Iran, Ali Madanizadeh berkata, kerajaan negara itu sudah bersedia menghadapi sekatan berkenaan dan yakin langkah AS itu akan sekali lagi berakhir dengan kegagalan.

“Kerajaan sudah bersedia dan mempunyai pelan dua tahun untuk menguruskan keadaan ini,” katanya kepada televisyen kerajaan.

Enam bulan berlalu, Washing­ton dan Teheran masih terperangkap dalam konflik walaupun rundingan telah diadakan berulang kali, dengan kegiatan perkapalan di Teluk lumpuh, inflasi dan harga tenaga melonjak, serta tekanan terhadap Trump sema­kin meningkat menjelang pilihan raya pertengahan penggal. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini