KYIV: Wanita yang disyaki dalang di sebalik serangan bom bungkusan di Monaco sehingga mencederakan seorang jutawan Ukraine ditemukan mati semalam, menurut Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU).
Sebelum ini, operasi memburu merentas sempadan dilancarkan bagi mengesan seorang wanita warga Ukraine, Anastasiia Berezovska yang dipercayai melarikan diri dari negara kota kaya itu selepas meletakkan bom di ruang masuk sebuah bangunan apartmen pada 29 Jun lalu.
Menurut SBU dan Pejabat Pendakwa Raya Ukraine, mayat wanita berusia 39 tahun itu ditemukan tertanam di sebuah kawasan hutan di wilayah Kyiv dengan kesan tembakan di bahagian kepala.
Susulan penemuan itu, dua individu termasuk seorang pegawai aktif dalam perkhidmatan risikan tentera Ukraine didakwa atas pertuduhan membunuh mangsa.
SBU dalam satu kenyataan yang memetik sumber penguatkuasa undang-undang mendedahkan Berezovska tiba di Ukraine pada 1 Julai, iaitu dua hari selepas serangan bom tersebut berlaku.
Sementara itu, Pejabat Pendakwa Raya Ukraine memberitahu BBC, dua suspek berkenaan bertemu dengan Berezovska di dalam sebuah kereta di sebuah lebuh raya di wilayah Kyiv dua hari kemudian.
“Mangsa melakukan perjalanan dalam jarak tertentu bersama-sama mereka sebelum dia dibunuh,” jelas kenyataan tersebut.
SBU turut memaklumkan Berezovska sempat berkomunikasi dengan keluarganya serta dua lelaki selepas memasuki Ukraine iaitu seorang bekas pegawai penguatkuasa undang-undang dan seorang pegawai aktif di Direktorat Utama Risikan Ukraine di bawah Kementerian Pertahanan.
Kedua-dua lelaki berkenaan sebelum ini disiasat sebagai kemungkinan rakan subahat dalam serangan di Monaco berdasarkan maklumat mereka telah berulang kali memindahkan dana ke akaun kripto dan bank milik Berezovska.
Agensi itu menambah, pegawai risikan terbabit kemudiannya mengaku bersalah atas pembunuhan Berezovska dan mendedahkan dia melakukan jenayah tersebut bersama seorang lagi suspek.










