WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak akan ditangkap sekiranya beliau melawat negara berkenaan selepas Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani menyatakan beliau sedang mempertimbangkan tindakan sedemikian.
“Benjamin Netanyahu tidak akan ditangkap dalam apa jua keadaan, bentuk atau cara sekalipun sewaktu berada di AS,” tulis Trump menerusi satu hantaran di media sosial yang tidak merujuk secara langsung kepada kenyataan Datuk Bandar tersebut.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang berpangkalan di The Hague telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu pada 2024 atas dakwaan penjenayah perang semasa konflik di Gaza. Israel bagaimanapun menolak bidang kuasa mahkamah tersebut dan menafikan sebarang dakwaan melakukan jenayah perang.
Trump tidak menamakan Zohran secara khusus dalam hantarannya di platform Truth Social, sebaliknya memuji peranan Israel yang membantu dalam konflik perang membabitkan Iran.
Datuk Bandar New York itu dalam satu wawancara yang disiarkan pada Sabtu memaklumkan jabatan undang-undang bandar raya berkenaan sedang mengkaji secara aktif bidang kuasa undang-undang yang boleh dikuatkuasakan.
“Saya percaya Netanyahu sepatutnya dihadapkan ke The Hague. Beliau merupakan seorang penjenayah perang yang telah dituduh oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa,” kata Zohran kepada rancangan audio siar (podcast) terbitan New York Times bertajuk The Interview.
Secara tradisinya, Netanyahu akan berlepas ke New York pada setiap September bagi menghadiri acara tahunan pemimpin-pemimpin dunia di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA).
Pihak Israel bertindak balas terhadap kenyataan Zohran menerusi satu hantaran di platform X pada Ahad, dengan mengutuk ICC sebagai sebuah ‘mahkamah rimba’ dan menyifatkan waran tangkap ke atas Netanyahu sebagai tidak sah.
“Zohran kelihatan cuba mengalihkan perhatian umum daripada kelemahan pentadbirannya sendiri dengan menyerang pemimpin negara Yahudi yang juga satu-satunya amalan demokrasi di Asia Barat,” menurut kenyataan tersebut.
ICC yang ditubuhkan pada 2002 mempunyai bidang kuasa antarabangsa untuk mendakwa penjenayah pembunuhan beramai-ramai (genosid), jenayah terhadap kemanusiaan serta jenayah perang. Bagaimanapun, AS dan Israel bukan ahli ICC.
Zohran yang mula memegang jawatan pada Januari lalu pernah menyatakan semasa kempen pemilihannya bahawa beliau akan mengarahkan pihak polis menahan Netanyahu sekiranya pemimpin itu mendarat di New York.










