Trump sambut Netanyahu, Zelensky di Rumah Putih

Trump sambut Netanyahu, Zelensky di Rumah Putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menerima kunjungan berturut-turut Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Rumah Putih.

Pertemuan itu dibuat ketika Kyiv memohon tambahan kekuatan pertahanan udara manakala pemimpin Israel itu cuba memulihkan hubungan hambar dengan Trump.

Trump menyifatkan kedua-dua pertemuan itu dalam nada positif menerusi hantaran di media sosial pada petang Selasa, walaupun tidak mendedahkan secara khusus perkara yang dibincangkan.

“Pertemuan yang amat baik! Sudah tentu, banyak topik penting telah dibincangkan,” kata Trump berhubung perbincangannya dengan Netanyahu.

Beliau turut memuat naik kenyataan serupa mengenai pertemuannya dengan Zelenskyy sambil menulis bahawa pertemuan berjalan dengan sangat lancar.

Ini merupakan kunjungan pertama Netanyahu ke Pejabat Oval sejak beliau dan Trump melancarkan kempen ketenteraan bersama terhadap Iran pada 28 Februari lalu.

Hubungan Netanyahu dengan Trump menjadi agak rumit sejak beberapa minggu kebelakangan ini berikutan desakannya untuk terus memerangi Iran dan Hizbullah di Lubnan, ketika Trump sebaliknya cuba membuka laluan diplomasi dengan Teheran.

Ketegangan antara kedua-dua pemimpin itu meningkat apabila konflik berkenaan berlanjutan tanpa keputusan konklusif, hingga menyaksikan Trump pernah menggelar Perdana Menteri Israel itu sebagai ‘gila’ dan mengisytiharkan tanpa dirinya, Israel tidak akan wujud.

Kedua-dua pemimpin kini berdepan tekanan politik domestik masing-masing, dengan Netanyahu bergelut dengan saingan sengit dalam pilihan raya umum, manakala Trump menghadapi desakan kuat untuk menamatkan peperangan yang tidak popular dan telah melonjakkan kos sara hidup menjelang pilihan raya separuh penggal November ini.

Trump memberi bayangan berhubung pergeseran tersebut awal sebelum itu ketika ditanya dalam rancangan Fox & Friends pada pagi Selasa mengenai laporan Netanyahu merancang untuk menyalurkan maklumat perisikan mengenai aktiviti Iran di Gunung Pickaxe, iaitu tapak nuklear yang pernah diancam untuk dibom olehnya.

Jauh di luar perkarangan Rumah Putih di sebalik pagar keselamatan, kumpulan penunjuk perasaan bertindak melaungkan slogan seperti ‘Netanyahu, anda penindas’ dan ‘Bibi, anda tidak dialu-alukan di sini’ pada Selasa.

Pertemuan tertutup yang berlangsung selama kira-kira sejam itu dijangka merangkumi isu Iran, draf perangkaan perjanjian yang ditandatangani AS dan Israel bersama Lubnan serta potensi perluasan Perjanjian Abraham, menurut seorang pegawai Rumah Putih. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN