WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenakan tarif sebanyak 50 peratus ke atas pelbagai barangan import dari Kanada sebagai tindak balas terhadap dakwaan layanan tidak adil ke atas produk automotif, tenusu dan minuman beralkohol keluaran Washington.
Langkah tersebut menyasarkan barangan kegunaan harian seperti wain dan kayu hoki sehinggalah barangan industri seperti simen.
Bagaimanapun, beberapa komoditi eksport utama dilaporkan dikecualikan antaranya sumber tenaga, potash, mineral kritikal dan hasil perikanan.
Perdana Menteri Kanada, Mark Carney bertindak balas dengan menyatakan Kanada bersedia untuk menggiatkan perundingan perdagangan dengan AS dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Menurut kenyataan Rumah Putih, kadar duti baharu itu bakal dikuatkuasakan dalam tempoh 30 hari, sekali gus menandakan ketegangan perdagangan yang semakin meruncing antara dua negara jiran di Amerika Utara berkenaan.
Pengenaan duti baharu ini terpaksa ditanggung oleh semua barangan yang tersenarai tanpa mengira sama ada produk tersebut pernah merangkumi perjanjian perdagangan bebas sedia ada antara Kanada, AS dan Mexico, atau lebih dikenali sebagai USMCA.
“Ini merupakan siri tindakan perdagangan sepihak terkini oleh AS yang bermula menerusi pengenaan beberapa siri tarif sekali gus melanggar secara langsung Perjanjian Kanada-AS-Mexico,” kata Carney dalam satu kenyataan di platform X.
Beliau turut membangkitkan isu ancaman terhadap kedaulatan Kanada yang dipercayai merujuk kepada desakan Trump sebelum ini yang mahu menjadikan negara di utara Amerika itu sebagai negeri AS yang ke-51.
Cukai import terbaharu yang diumumkan pada Isnin itu memburukkan lagi halangan perdagangan sedia ada antara kedua-dua negara.
Sebelum ini, AS mengenakan tarif aktif berbilang kadar antara 15 hingga 50 peratus bagi produk keluli, aluminium dan kuprum dari Kanada.
Washington turut mengenakan tarif 35 peratus ke atas kayu lembut Kanada di samping cukai 25 peratus bagi komponen kenderaan yang bukan buatan AS.
Sebagai tindak balas, Kanada turut mengenakan tarif balasan sebanyak 25 peratus ke atas barangan import terpilih dari AS seperti keluli, aluminium dan kenderaan.
Pengenaan duti pada Isnin ini menyusul selepas ancaman Trump yang mahu mengenakan tarif berikutan isu asap kebakaran hutan di Kanada yang ditiup angin sehingga menjejaskan ruang udara bandar-bandar di AS. -AGENSI










