ANKARA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu memaklumkan Washington akan memberikan Ukraine hak untuk mengeluarkan sistem pertahanan udara Patriot yang amat diperlukan bagi menangkis serangan maut Russia.
Namun, beliau tidak menyatakan bila komitmen itu akan dilaksanakan.
Ukraine berdepan kesukaran memintas peluru berpandu balistik Russia selepas perang AS-Israel menentang Iran tahun ini menjejaskan bekalan pemintas Patriot buatan AS.
“Antara perkara yang akan kita bincangkan ialah kita akan memberikan lesen kepada anda untuk menghasilkan Patriot. Itu sesuatu yang hebat, bukan?
“Kami belum memaklumkan perkara itu kepada syarikat berkenaan lagi, tetapi semuanya akan berjalan dengan baik,” kata Trump kepada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky di luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Ankara tanpa mengulas lanjut.
Serangan terbaharu peluru berpandu dan dron Russia pada Rabu mengorbankan 10 orang di seluruh Ukraine, termasuk tiga di ibu negara Kyiv, menurut pegawai tempatan.
Penganalisis ketenteraan Ukraine, Sergiy Zgurets berkata, Russia mempunyai kelebihan dari segi peluru berpandu balistik dan mengambil kesempatan atas kekurangan stok sistem Patriot Ukraine untuk menyasarkan Kyiv.
“Ini membolehkan pihak lawan menggunakan serangan sedemikian sebagai satu bentuk tekanan psikologi,” katanya kepada AFP.
Bagaimanapun, memandangkan tempoh pengeluarannya yang panjang, lesen untuk menghasilkan Patriot, antara sistem peluru berpandu pertahanan udara paling canggih di dunia itu dijangka tidak dapat menyelesaikan segera masalah pertahanan Ukraine.
Menurut Institut Penyelidikan Dasar Luar AS, penghasilan peluru berpandu pertahanan udara Patriot mengambil masa sehingga 24 bulan, manakala pembinaan enjinnya pula memerlukan kira-kira 30 bulan.
Walaupun Russia meningkatkan pengeboman sejak kebelakangan ini, Ukraine dalam beberapa bulan lalu berjaya menstabilkan barisan hadapan pertempuran dan memperhebat serangan jauh ke dalam wilayah Russia.
Trump berkata, serangan itu mungkin dapat membantu menamatkan perang.
“Ia merupakan satu peningkatan, tetapi juga peningkatan yang boleh membantu membawa kepada penamatan perang,” katanya.
Trump dan Zelensky turut dilihat berinteraksi dalam suasana yang lebih mesra pada pertemuan itu, berbeza dengan pertelingkahan tegang di Rumah Putih tahun lalu. – AFP










