WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam akan memperluaskan serangan AS ke atas Iran minggu depan dengan menyasarkan loji janakuasa dan jambatan sekiranya Teheran gagal mencapai sebarang perjanjian.
“Minggu depan keadaan akan menjadi lebih buruk buat mereka kerana minggu depan giliran loji janakuasa. Minggu depan giliran jambatan.
“Kami akan memusnahkan semua loji janakuasa mereka. Kami akan memusnahkan semua jambatan mereka kecuali mereka bersedia duduk di meja rundingan dan berunding,” kata Trump dalam wawancara bersama penyiar AS, Fox News, pada Selasa.
Kenyataan Trump dibuat ketika tentera AS meneruskan serangan ke atas Iran untuk hari keempat berturut-turut serta mengenakan semula sekatan laut terhadap pelabuhan-pelabuhan negara itu.
Gencatan senjata rapuh yang dimeterai pada 17 Jun antara kedua-dua pihak kini dilihat hampir runtuh sepenuhnya, dengan pertikaian kini tertumpu kepada kawalan Selat Hormuz yang strategik.
Beliau turut memberi jawapan ketika ditanya berapa lama serangan AS akan diteruskan.
“Ia akan diteruskan sehingga saya mengatakan ia sudah mencukupi,” katanya.-AFP










