Taufan Super Bavi hampiri wilayah Pasifik, dijangka bawa ombak setinggi bangunan 10 tingkat

Taufan Super Bavi hampiri wilayah Pasifik, dijangka bawa ombak setinggi bangunan 10 tingkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUAM: Penduduk di Guam dan Kepulauan Mariana Utara mula berpindah ke pusat pemindahan kecemasan beberapa jam sebelum Taufan Super Bavi dijangka membadai wilayah Pasifik milik Amerika Syarikat (AS) itu.

Taufan Super Bavi diramalkan bergerak ke arah barat merentasi kawasan itu sekitar pukul 10 pagi Isnin (waktu tempatan) dengan kelajuan angin mencecah 260 kilometer sejam, bersamaan taufan kategori lima serta tiupan angin sehingga 315 kilometer sejam.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) menyifatkan taufan itu amat berbahaya, sambil memberi amaran angin berkekuatan ribut tropika dijangka mula melanda pada petang atau malam Ahad.

NWS turut memberi amaran kerosakan ‘amat dahsyat’ dijangka berlaku berhampiran pusat taufan.

“Banjir besar akibat hujan lebat serta limpahan air laut ke kawasan pesisir dijangka berlaku. Ombak setinggi sehingga 10.7 meter, bersamaan bangunan 10 tingkat turut diramalkan, sekali gus mewujudkan keadaan laut yang amat berbahaya,” menurut NWS.

Di Guam, jalan raya kelihatan lengang pada Ahad ketika hujan lebat dan angin kencang mula melanda pulau itu.

Seorang penduduk, Pinky Cubacub, 55, berkata, dia beratur seawal Sabtu untuk membeli papan lapis bagi menutup tingkap premis makan miliknya.

“Saya tidak mampu kehilangan banyak hari berniaga. Ia benar-benar memberi kesan.

“Saya baru memulakan perniagaan. Hasil yang kami peroleh sekarang hanya cukup untuk membayar sewa, utiliti, pekerja dan bekalan. Saya sendiri masih belum mengambil gaji,” katanya kepada AFP.

Seorang pekerja pusat panggilan, Arabella Paulino, 48, berkata, anak-anaknya berasa takut dengan ancaman taufan itu.

“Anak-anak perempuan saya kata mereka takut. Tetapi semuanya akan baik-baik saja. Rumah saya diperbuat daripada konkrit, jadi perkara paling buruk yang mungkin berlaku hanyalah tingkap pecah akibat tiupan angin,” katanya.

Pelancong Jepun, Miku Sakurai, 25, yang sepatutnya pulang ke Tokyo bersama rakan-rakannya pada Ahad berkata, penerbangan mereka dibatalkan berikutan cuaca buruk.

“Kami akan berada di hotel apabila ribut melanda. Saya takut,” katanya.

Bagaimanapun, kira-kira 12 peluncur ombak mengambil kesempatan memanfaatkan keadaan berangin di sebuah pantai di Teluk Talofofo, Guam.

“Memang banyak serpihan di dalam air tetapi ia tetap menyeronokkan,” kata seorang daripada mereka.

Kepulauan Mariana Utara di barat Lautan Pasifik mempunyai kira-kira 40,000 penduduk, manakala Guam yang juga wilayah AS tetapi ditadbir secara berasingan, mempunyai kira-kira 170,000 penduduk.

Taufan Super Sinlaku yang melanda wilayah itu pada pertengahan April lalu menyebabkan bekalan elektrik terputus kepada puluhan ribu penduduk, menumbangkan pokok, merosakkan kenderaan serta menerbangkan bumbung logam bangunan.

Pada 2023, Taufan Mawar yang merupakan antara taufan paling kuat dalam tempoh beberapa dekad turut mengakibatkan kemusnahan besar.

Menjelang pagi Ahad, Taufan Super Bavi diramalkan menghampiri Rota, sebuah pulau kecil di antara Guam dan Saipan, pulau utama Kepulauan Mariana Utara yang mempunyai kira-kira 1,500 penduduk.

Datuk Bandar Rota, Aubry Hocog berkata, dengan kerjasama semua pihak dan langkah berjaga-jaga yang sewajarnya, keselamatan penduduk dapat dipertingkatkan.

“Kami berdoa agar semua penduduk kami selamat,” katanya.

Pasukan daripada Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) telah ditempatkan di Guam dengan pusat pengagihan mereka menyediakan 1.1 juta liter air, 1.2 juta hidangan makanan, 6,700 katil lipat dan 90 penjana elektrik.

NWS berkata, peluang untuk berpindah atau mendapatkan perlindungan semakin singkat.

Guam membuka lima pusat pemindahan di sekolah yang mampu menampung sehingga 1,900 orang, terutama penduduk yang tinggal di kediaman berisiko.

Pegawai tempatan, Damon Michael Borja berkata, pihak berkuasa telah banyak mempelajari pengalaman ketika Taufan Mawar melanda dan lebih bersedia apabila Sinlaku tiba.

Beliau berkata, persediaan kini lebih baik terutama dari segi bekalan elektrik, bekalan air serta keselamatan dan kesihatan penduduk.

“Ketika Mawar, hampir tiga bulan diperlukan untuk memulihkan bekalan elektrik dan air di semua kawasan. Semasa Sinlaku, ia hanya mengambil masa kira-kira tiga minggu,” katanya di ibu pejabat Keselamatan Dalam Negeri Guam.

Perkhidmatan Marin Copernicus Kesatuan Eropah memaklumkan lautan dunia merekodkan suhu bulan Jun paling panas dalam sejarah dan berpotensi mencatat rekod baharu dalam beberapa bulan akan datang.

Suhu laut yang lebih panas membantu menguatkan ribut tropika serta meningkatkan kandungan lembapan di atmosfera yang boleh menyebabkan hujan lebat.

Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pada Jumaat memberi amaran fenomena El Nino, yang lazimnya berlaku setiap dua hingga tujuh tahun dan berlarutan antara sembilan hingga 12 bulan, kini telah bermula di kawasan tropika Lautan Pasifik dan dijangka berada pada tahap yang kuat.

Fenomena iklim semula jadi itu meningkatkan suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik Khatulistiwa, sekali gus mengubah corak angin, tekanan udara dan taburan hujan di seluruh dunia.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN