WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendedahkan reka bentuk baharu wang kertas AS$100 (RM407) yang menampilkan kelainan unik buat julung kalinya dalam sejarah AS.
Wang kertas itu turut mengandungi tandatangan beliau dipaparkan atas wang kertas tersebut.
Menerusi hantaran di platform Truth Social miliknya pada Jumaat, Trump berkongsi imej wang kertas tersebut.
Ia sekali gus menandakan kali pertama dalam sejarah negara itu kerana ia mengandungi tandatangan seorang Presiden AS yang sedang berkhidmat.
Wang kertas baharu itu turut membawa tandatangan Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessen dan dijangka mula diedarkan dalam masa terdekat sempena sambutan ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS.
Meskipun terdapat perubahan tersebut, wajah salah seorang pengasas AS, Benjamin Franklin kekal di atas wang kertas itu dengan reka bentuk keseluruhan yang hampir sama, kecuali tambahan dua tandatangan di sudut kiri bawah.
Bessent menyokong penuh langkah tersebut dengan memuat naik semula imej itu dan menyifatkannya sebagai sangat wajar untuk mata wang itersebut dikeluarkan pada hari ulang tahun kemerdekaan AS.
Melalui hantaran di platform X, Setiausaha Perbendaharaan itu turut memuji pencapaian Trump sepanjang memimpin negara.
“Menerusi kepimpinan Presiden Trump, kita berada di landasan menuju pertumbuhan ekonomi yang belum pernah terjadi sebelum ini, penguasaan dolar yang berterusan dan kekukuhan serta kestabilan fiskal,” tulis Bessent di X.
“Tiada cara yang lebih hebat untuk mengiktiraf pencapaian bersejarah negara kita dan Presiden Trump selain daripada wang kertas dolar AS yang tertera tandatangan beliau.
“Amat bersesuaian untuk mata wang bersejarah ini dikeluarkan pada sambutan ulang tahun ke-250 negara,” tambahnya. – AGENSI










