TEHERAN: Amerika Syarikat (AS) melancarkan beberapa siri serangan yang disifatkan sebagai ‘berkuasa’ ke atas Iran selepas tiga kapal komersial diserang di Selat Hormuz, mencetuskan gelombang serangan balas yang menjejaskan usaha damai di Asia Barat.
Dalam satu kenyataan Markas Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan melancarkan serangan ke atas lebih 80 sasaran sebagai tindak balas terhadap tindakan Iran yang didakwa menyerang kapal komersial di laluan perkapalan strategik itu kelmarin.
“Serangan pasukan AS menyasarkan sistem pertahanan Iran, rangkaian arahan dan kawalan, tapak radar pantai, keupayaan peluru berpandu antikapal, serta lebih 60 bot kecil milik Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) di sekitar dan berhampiran Selat Hormuz,” menurut kenyataan tentera AS yang dimuat naik di platform X.
Media kerajaan Iran melaporkan, serangan itu mengenai Pulau Qeshm, Bandar Abbas dan Sirik, dengan beberapa individu cedera akibat serpihan letupan. Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan.
IRGC kemudian mengumumkan pasukan tentera laut dan aeroangkasanya melancarkan operasi bersama menggunakan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan 85 lokasi utama tentera AS.
Katanya, sasaran itu termasuk Bandar Salman, Daerah Tentera Laut Kelima Bahrain, serta Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait. IRGC turut mendakwa sebuah dron MQ-9 milik AS yang cuba mengganggu operasi itu berjaya ditembak jatuh.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, gencatan senjata dengan Iran ‘sudah berakhir’ selepas kedua-dua pihak saling melancarkan serangan, namun menegaskan rundingan dengan Teheran masih boleh diteruskan.
“Saya fikir ia sudah berakhir, saya tidak mahu berurusan dengan mereka lagi. Mereka tidak betul, ganas serta kejam. Jika mereka memiliki senjata nuklear, mereka akan menggunakannya,” katanya.
Trump berkata, beliau akan berbincang dengan wakil AS, Steve Witkoff serta menantunya, Jared Kushner yang mengendalikan rundingan dengan Iran, namun menegaskan terpulang kepada Teheran untuk kembali ke meja rundingan.
Beliau turut menuduh Iran berulang kali memutar belitkan perkara yang dipersetujui dalam gencatan senjata yang dimeterai antara Washington dan Teheran pada 17 Jun.
“Sejujurnya, saya tidak mahu membuang masa dengan mereka. Saya akan biarkan perunding hebat kami terus berbincang jika mereka mahu, tetapi saya tidak nampak hasilnya. Bagi saya, berurusan dengan mereka hanya membuang masa.
“Semua orang bersetuju, tiada senjata nuklear dan kami capai perjanjian. Kemudian mereka keluar dan bergurau dengan media, mengatakan kami langsung tidak pernah membincangkannya. Ada sesuatu yang tidak kena dengan mereka,” katanya.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menuduh AS melanggar memorandum persefahaman antara Washington dan Teheran yang ditandatangani bulan lalu, sambil memberi amaran negaranya akan mengambil tindakan tegas.
Beliau berkata, serangan AS, penguatkuasaan semula sekatan terhadap penjualan minyak Iran serta konflik berterusan antara Israel dan Hizbullah di Lubnan menyebabkan bahagian penting dalam memorandum persefahaman berhubung penamatan perang itu tidak lagi berkesan.
Katanya, Teheran akan mengambil apa sahaja langkah yang dianggap perlu untuk melindungi kepentingan kepentingan dan keselamatan negaranya.
Sebelum ini, AS memberi amaran tindakan akan diambil susulan serangan ke atas kapal-kapal tangki yang disifatkannya ‘sama sekali tidak boleh diterima’.
Qatar dan Arab Saudi turut mengecam serangan tersebut, dengan kedua-duanya mendakwa sebuah kapal tangki milik negara masing-masing diserang ketika melalui kawasan di dalam atau berhampiran selat berkenaan, selain menyalahkan Iran.
Serangan itu dilancarkan tidak lama selepas Washington menarik balik pengecualian sementara sekatan terhadap eksport minyak Iran, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas Teheran ketika negara tersebut sedang berunding dengan AS bagi mencapai penyelesaian konflik.
Jabatan Perbendaharaan AS membatalkan lesen diumumkan Jun lalu, yang sebelum ini membenarkan Iran mengeluarkan, menjual dan menghantar minyak mentah serta produk berkaitan sehingga 21 Ogos.-AGENSI










