Serangan AS makin hebat sasar bandar nuklear Iran - Utusan Malaysia

Serangan AS makin hebat sasar bandar nuklear Iran

BENDERA Iran berkibar di sebuah loji nuklear awam yang terletak di bandar Busher, barat daya negara itu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN/WASHINGTON: Beberapa lokasi di bandar Bushehr di barat daya Iran, yang menempatkan satu-satunya loji janakuasa nuklear awam negara itu, diserang peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, menurut laporan media kerajaan negara itu.

Ia berlaku, ketika Teheran memberi amaran kepada Wa­shington berhubung satu lagi serangan berasingan ke atas loji tenaga nuklear Darkhovin di wilayah Khuzestan  yang masih dalam pembinaan.

“Beberapa minit lalu, bebe­rapa lokasi di bandar Bushehr telah diserang peluru berpandu musuh Amerika,” kata Gabenor Bushehr, Mohammad Mozaffari, kepada agensi berita rasmi Iran, IRNA.

Mozaffari berkata, pihak ber­kuasa sedang menyiasat skala dan tahap kerosakan akibat se­rangan itu. Laporan tersebut bagaimanapun tidak menyata­kan sama ada loji janakuasa nuklear Bushehr menjadi sasaran serangan.

Seorang pegawai politik dan keselamatan di wilayah Bushehr turut memaklumkan bahawa satu kawasan berhampiran Khormoj, pusat pentadbiran daerah Dashti, turut diserang pada awal pagi Isnin.

Ketegangan antara kedua-dua negara memuncak. Sejak lebih seminggu lalu.

Serangan terbaharu itu dilakukan selepas Presiden AS, Donald Trump berkata pada Ahad bahawa Iran diserang lagi sebagai penghormatan kepada anggota tentera Amerika yang terbunuh dalam beberapa hari kebelakangan ini.

“Kami menyerang mereka dengan sangat kuat sekali lagi malam ini, dan kami melakukannya sebagai penghormatan kepada, mungkin tiga, ya mungkin tiga wira negara yang hebat,” kata Trump kepada pemberita ketika kembali ke Washington selepas menghadiri perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia antara Sepanyol dengan Argentina di New Jersey.

Ketika ditanya mengenai kematian anggota tentera itu, Trump berkata, mereka yang terkorban berjuang bagi memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear

Jumlah kematian anggota tentera AS sejak konflik bermula kini meningkat kepada 17 orang.

Pada Jumaat lalu, Kementerian Kesihatan Iran turut melaporkan 50 orang terbunuh manakala lebih 500 lagi cedera dalam pertempuran terbaharu.

Harga minyak dunia melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh sebulan apabila AS dan Iran terus bersaing menguasai laluan perairan strategik Selat Hormuz. Harga minyak mentah Brent melepasi AS$91 (RM372.45) setong, paras tertinggi sejak 11 Jun.

Satu letupan kuat turut kedengaran pada Isnin di ban­dar Isfahan, di tengah Iran, menurut agensi berita Mehr.

Laporan itu menyatakan bahawa punca dan sumber letupan tersebut masih belum dapat dipastikan.

Media Iran kemudian mela­porkan bahawa Tentera Laut Pengawal Revolusi Islam (IRGC) telah menembak jatuh sebuah dron bersenjata MQ-9 Reaper milik AS di ruang udara Bushehr.

Menurut IRNA, Tentera Laut IRGC menggunakan sistem pertahanan udara baharu yang dibangunkan untuk memintas dan menembak jatuh dron itu di bandar berkenaan.

Dalam pada itu, Bahrain dan Kuwait melaporkan berjaya memintas serangan Iran pada Isnin.

Gencatan senjata rapuh antara AS dan Iran runtuh selepas Iran mula menyerang kapal-kapal yang menggunakan laluan Oman di Selat Hormuz bagi memaksa mereka melalui perairan yang dikawalnya.

Sebagai tindak balas, AS melancarkan serangan ke atas Iran yang kemudian membalas dengan menyerang negara-negara Teluk dan beberapa negara Arab lain.

Bahrain, yang menjadi lokasi pangkalan Armada Kelima Tentera Laut AS  berkata, sistem pertahanan udaranya telah me­mintas dan memusnahkan be­berapa serangan udara Iran. Tentera Kuwait melaporkan turut berlaku pencerobohan oleh Iran ke negaranya.

Iran juga  telah menyasarkan beberapa pesawat tentera AS yang ditempatkan di Lapangan Terbang Aqaba, Jordan, dan menyebabkan kerosakan teruk”terhadap sebahagian da­ri­padanya. 

Sejak perang tercetus pada 28 Februari, Iran bertindak balas dengan menyasarkan aset ketenteraan dan sekutu AS di rantau itu, selain hampir menutup sepenuhnya Selat Hormuz yang sebelum perang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.

Kedua-dua negara sebelum ini bersetuju melaksanakan gencatan senjata yang diumumkan Trump pada 7 April sebelum diperkukuh menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 17 Jun bagi membuka ruang run­dingan selama 60 hari. 

Namun, pada 8 Julai, Trump mengumumkan MoU itu berakhir selepas Washington menuduh Teheran melanggar syarat perjanjian susulan serangan terhadap kapal-kapal di Selat Hormuz. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN