Sekatan laut Houthi burukkan konflik Asia Barat

Sekatan laut Houthi burukkan konflik Asia Barat

PENYOKONG bersenjata Yemen memegang senjata semasa protes terhadap sekatan dikenakan Arab Saudi ke atas kawasan dikuasai Houthi di Sanaa, minggu lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANAA: Kumpulan Houthi di Yemen mengumumkan akan mengenakan sekatan laut terhadap Arab Saudi, sekali gus meningkatkan ketegangan serantau dan mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan tenaga serta perdagangan global.

Pengumuman itu dibuat pada Isnin ketika konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran terus memuncak, dengan tindakan Houthi dilihat berpotensi membuka medan baharu dalam krisis di Asia Barat.

Sebagai tindak balas terhadap pengumuman Houthi, gabungan tentera pimpinan Arab Saudi di Yemen menyatakan akan mengambil tindakan ketenteraan terhadap kumpulan itu. 

Gabungan berkenaan turut mengaktifkan langkah perlindungan bagi kapal-kapal yang melalui Selat Bab el-Mandeb, laluan strategik eksport minyak Arab Saudi berikutan penutupan berkesan Selat Hormuz.

Tindakan Houthi itu berlaku ketika terdapat petanda Teheran dan Washington masih berusaha meneruskan saluran diplomatik bagi meredakan konflik yang semakin memuncak dan menyelamatkan perjanjian sementara yang dimeterai bulan lalu.

Kementerian Luar Iran memaklumkan pihak pengantara mengemukakan beberapa cadangan kepada Teheran, menandakan usaha diplomatik masih diteruskan, namun tidak memperincikan kandungan cadangan tersebut.

Harga minyak dunia meningkat seketika selepas pengumuman Houthi itu, namun kembali susut apabila pelabur masih berharap kepada penyelesaian secara diplomatik.

Pada masa sama, kos insurans bagi penghantaran barangan melalui Laut Merah turut meningkat berikutan risiko yang semakin tinggi terhadap kapal dagang.

Sebelum ini, Iran dilaporkan menggesa Houthi menutup Selat Bab el-Mandeb sekiranya AS terus melancarkan serangan ke atas infrastruktur strategiknya.

Penutupan sepenuhnya selat itu dijangka mengurangkan bekalan minyak global sebanyak tujuh peratus kerana sebahagian besar eksport minyak Arab Saudi tidak lagi dapat keluar dari rantau berkenaan.

Gangguan itu dijangka memburukkan lagi kesan perang di rantau Teluk, yang sebelum ini mengurangkan penghantaran minyak global sebanyak kira-kira 10 peratus.

Dalam kenyataannya, sayap bersenjata Houthi mengisytiharkan sekatan maritim terhadap musuh jenayah Arab Saudi sebagai tindak balas terhadap kepungan tidak adil dan menindas dikenakan Riyadh ke atas Yemen.

Jurucakap tentera Houthi yang disokong Iran berkata, sekatan itu akan berkuat kuasa serta-merta sebagai tindak balas terhadap sekatan yang didakwa dikenakan Arab Saudi ke atas pelabuhan dan lapangan terbang di barat laut Yemen.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan pelaksanaan sekatan tersebut, namun seorang pegawai media Houthi berkata, kumpulan itu akan menutup Selat Bab el-Mandeb, pintu masuk selatan Laut Merah kepada kapal-kapal milik Arab Saudi.

Kementerian Luar Arab Saudi menolak dakwaan berkenaan dan menegaskan negara itu akan mengambil segala langkah yang perlu untuk melindungi kapal-kapalnya selaras dengan undang-undang antarabangsa.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN