'Saya amat kecewa dengan NATO' - Trump

‘Saya amat kecewa dengan NATO’ – Trump

RECEP Tayyip Erdogan (kanan) berjabat tangan dengan Donald Trump ketika majlis sambutan rasmi di Kompleks Presiden Beştepe di Ankara, Turkiye-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa amat kecewa dengan sikap pemimpin negara Eropah dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ketika beliau menghidupkan semula pertikaian berhubung perang Iran dan Greenland dalam sidang kemuncak di Ankara.

Setibanya di ibu negara Turkiye itu, Trump mengkritik sekutu-sekutu NATO kerana tidak menyokong AS dalam perang Iran, malah berkata, beliau mungkin ‘memulaukan’ sidang kemuncak itu jika bukan kerana hubungan persahabatannya dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Trump yang lantang mengkritik NATO sepanjang penggal pertama dan keduanya sebagai presiden berkata, Washington tidak menerima layanan sewajarnya daripada pakatan itu ketika perang AS-Israel menentang Iran.

“Mengapa kami perlu membelanjakan ratusan bilion dolar sedangkan mereka tidak bersama kami? Kami pula sentiasa bersama mereka,” katanya ketika muncul bersama Erdogan pada Selasa.

Trump turut menuduh negara-negara Eropah gagal membenarkan tentera AS menggunakan ruang udara dan pangkalan tentera di wilayah masing-masing sepanjang perang itu.

Beliau juga mendakwa sudah mengarahkan Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent supaya menghentikan semua urusan perdagangan dengan Sepanyol, sambil menyifatkan Madrid sebagai ‘rakan yang teruk’ dalam NATO. 

Trump juga sekali lagi menegaskan Greenland, wilayah separa autonomi milik Denmark itu sepatutnya berada di bawah kawalan AS.

Kenyataan sedemikian sejak sekian lama menjejaskan hubungan antara Washington dan Copenhagen yang kedua-duanya merupakan anggota pengasas NATO, selain hubungan lebih luas antara AS dan negara-negara Eropah.

“Kami bersedia mempertahankan setiap inci wilayah NATO, termasuk wilayah kami sendiri. Sudah tentu kami akan mempertahankan Kerajaan Denmark.

“Antara sebab NATO ditubuhkan bertahun-tahun dahulu ialah jika sesuatu berlaku kepada salah seorang daripada kami, maka semua akan bangkit mempertahankan antara satu sama lain,” kata Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen di Ankara sambil mengulangi Greenland bukan untuk dijual.

Namun NATO cuba menunjukkan anggota Eropahnya menyahut gesaan Trump supaya meningkatkan perbelanjaan pertahanan sendiri dan mengurangkan pergantungan kepada AS dengan mengumumkan beberapa perjanjian pembelian senjata bernilai sekurang-kurangnya AS$50 billion (RM203.58 bilion).

“Semalam merupakan satu kejayaan besar. Negara anggota NATO kini melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mengambil peranan lebih besar dalam mempertahankan benua Eropah ketika berdepan ancaman Russia. Ini adalah kemenangan besar buat Presiden AS,” kata Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte.

Trump bagaimanapun membawa berita yang menggembirakan buat Erdogan apabila mengumumkan akan mempertimbangkan penjualan pesawat pejuang F-35 kepada Turkiye serta menarik balik sekatan ke atas negara itu.

Ankara disingkirkan daripada program F-35 pada 2019 selepas membeli sistem pertahanan buatan Russia dan sejak itu berusaha mendapatkan semula penyertaannya, selain mendesak AS menarik balik sekatan yang menjejaskan hubungan dua hala serta projek pertahanan Turkiye.

“Kami akan menarik balik sekatan itu,” kata Trump di Istana Presiden Turkiye yang tersergam indah dengan kemasan marmar. Duduk di sebelahnya, Erdogan berkata, beliau yakin Trump akan menamatkan pertikaian berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN