Russia, Ukraine perhebat pertempuran di Laut Hitam 

Russia, Ukraine perhebat pertempuran di Laut Hitam 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ODESA: Russia dan Ukraine memperhebat pertempuran bagi menguasai Laut Hitam serta laluan perdagangan utama selepas serangan Moscow dilaporkan mengorbankan tiga orang di bandar pelabuhan Odesa ketika pasukan dron Kyiv terus menyerang perkapalannya.

Gabenor wilayah Odesa, Oleh Kiper berkata, serangan besar-besaran menggunakan dron dan peluru berpandu oleh Russia ke atas wilayah selatan itu berterusan memasuki hari kelima, dengan infrastruktur awam, perindustrian dan pelabuhan menjadi sasaran.

Katanya, serangan tentera Russia ke atas sebuah kapal dagang di selatan Ukraine dan dua buah kapal lain di Laut Hitam pada Selasa mengorbankan tiga individu, termasuk seorang kapten kapal.

“Pada sebelah malam, pihak musuh melancarkan serangan baharu ke atas infrastruktur pelabuhan di wilayah Odesa. Dalam serangan tersebut, sebuah dron musuh telah menghentam kapal awam yang mengibarkan bendera Kepulauan Marshall.

“Kebakaran tercetus di atas kapal. Malangnya, dua orang dilaporkan terkorban,” jelas beliau menerusi aplikasi Telegram.

Terdahulu, Kiper memaklumkan dua buah kapal dagang mengibarkan bendera Tanzania dan Liberia yang sedang berlayar di Laut Hitam, turut menjadi sasaran bedilan.

“Akibat daripada serangan itu, kapten salah sebuah kapal terbabit telah terkorban,” katanya sambil menambah baki 11 orang kru kapal telah berjaya dipindahkan, dengan tiga daripada mereka mengalami kecederaan.

Kiper menyatakan kapal-kapal yang disasarkan di Laut Hitam itu sedang berlayar di sepanjang laluan koridor yang dikhaskan untuk eksport bijirin Ukraine.

“Setiap serangan kejam pihak musuh ini merupakan satu jenayah perang terhadap penduduk yang aman, pelayaran awam serta keselamatan makanan global,” tegas beliau.

Tentera Russia dilaporkan kerap menyasarkan infrastruktur pelabuhan Ukraine terutamanya di wilayah Odesa.

Sementara itu, pasukan tentera Ukraine juga mempertingkatkan serangan ke atas kapal-kapal di Laut Azov yang berfungsi sebagai laluan penting bagi produk pertanian Russia serta laluan bekalan ke wilayah Crimea yang dirampas oleh Moscow. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN