KYIV: Russia melancarkan serangan besar-besaran menggunakan peluru berpandu dan dron ke atas Ukraine pada Khamis, menyasarkan Kyiv serta beberapa wilayah lain di seluruh negara itu.
Kementerian Pertahanan Russia berkata, ia telah melaksanakan serangan besar-besaran menggunakan senjata jarak jauh berketepatan tinggi dari udara, darat dan laut serta dron serangan.
Moscow berkata, serangan itu menyasarkan kemudahan perindustrian ketenteraan, kompleks bahan api dan tenaga di Kyiv serta wilayah Kyiv. Ia juga menyasarkan pangkalan udara tentera di wilayah Dnipropetrovsk, Poltava, Cherkasy dan Chernihiv.
“Kyiv diserang peluru berpandu balistik dan UAV (pesawat tanpa pemandu),” kata Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko di Telegram. Angka kematian adalah lebih 10 orang dan 34 lagi cedera.
Setakat ini tidak jelas berapa banyak peluru berpandu dan dron yang dilancarkan ke Ukraine, atau berapa banyak yang berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara Ukraine.
Finland buat sementara waktu melaksanakan zon larangan penerbangan di bahagian timur Teluk Finland sebelum menarik semula sekatan itu.
Poland turut mengerahkan jet-jet pejuang sebagai tindak balas kepada serangan itu. Ia meyatakan jet pejuang telah mula beroperasi, manakala sistem pertahanan udara darat dan radar berada dalam keadaan siap siaga.
“Tindakan ini bersifat pencegahan dan bertujuan memastikan keselamatan serta melindungi ruang udara, khususnya di kawasan berhampiran wilayah yang terancam,” tambahnya.
Russia secara rutin melancarkan gelombang serangan peluru berpandu dan dron ke atas bandar-bandar Ukraine sepanjang lebih empat tahun pencerobohannya, yang telah menjadi konflik paling dahsyat di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Ketua diplomat Kesatuan Eropah mencadangkan sekatan baharu terhadap Moscow susulan serangan terbaharu itu. Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, turut meminta Amerika Syarikat (AS) memberikan lesen kepada Ukraine untuk menghasilkan peluru berpandu pertahanan udara Patriot. – AGENSI/AFP










