Polis Jerman buru suspek rempuhan kereta dekat sambutan Pride di Berlin

Polis Jerman buru suspek rempuhan kereta dekat sambutan Pride di Berlin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Polis Jerman pada Ahad memburu seorang suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas selepas sebuah kereta merempuh orang ramai berhampiran sambutan Pride di Berlin, mengorbankan seorang individu dan mencederakan 16 yang lain.

Insiden itu mencetuskan panik ketika ratusan ribu orang menghadiri Christopher Street Day, antara acara LGBTQ+ Pride terbesar di Eropah, apabila pengunjung bertempiaran meninggalkan taman di tengah bandar sementara siren kenderaan kecemasan bergema sepanjang malam.

Polis memaklumkan sebuah van mini atau SUV kecil yang disyaki digunakan dalam serangan itu ditemui ditinggalkan kira-kira beberapa ratus meter dari lokasi utama sambutan di Taman Tiergarten.

Operasi memburu suspek yang melibatkan helikopter serta anggota polis dari beberapa negeri di Jerman sedang dijalankan di seluruh ibu negara itu.

Jurucakap polis, Florian Nath berkata, seorang suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan IS telah dikenal pasti, namun masih belum diberkas.

Seorang saksi berhampiran pentas utama sambutan Pride di Gerbang Brandenburg memberitahu acara itu dihentikan secara mengejut apabila polis mengarahkan orang ramai meninggalkan kawasan berkenaan.

“Tolong pulang ke rumah,” jerit anggota polis kepada peserta ketika orang ramai beredar meninggalkan taman itu, sementara pasukan kecemasan bergegas memberikan rawatan kepada mangsa.

Serangan berlaku kira-kira pukul 10 malam (waktu tempatan) pada Sabtu.

“Sebuah kenderaan memasuki Taman Tiergarten dan melanggar beberapa orang,” kata polis.

Jurucakap Jabatan Bomba Berlin, Dominik Pretz berkata, tiga individu yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan mengancam nyawa.

Kira-kira 30 individu lagi menerima rawatan akibat mengalami kejutan di lokasi kejadian.

Serangan tersebut sekali lagi mengingatkan masyarakat Jerman kepada beberapa siri serangan maut yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus mencetuskan semula perdebatan hangat mengenai aspek keselamatan.

Canselor, Friedrich Merz berikrar individu yang bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan.

Dalam satu kenyataan, Merz menyifatkan kejadian itu sebagai tindakan yang mengerikan dan berkata, beliau bersama Menteri Dalam Negeri, Alexander Dobrindt sentiasa menerima perkembangan terkini mengenai insiden berkenaan.

Datuk Bandar Berlin, Kai Wegner turut mengecam apa yang disifatkannya sebagai serangan kejam terhadap perhimpunan yang meraikan Berlin yang aman dan bertoleransi.

Polis sebelum itu menempatkan lebih 2,000 anggota bagi mengawal keselamatan acara berkenaan.

Selepas kejadian, anggota tambahan dari seluruh Jerman digerakkan bagi membantu operasi memburu dengan sokongan helikopter yang dilengkapi kamera pengimejan haba.

Seorang wartawan AFP di lokasi melihat banyak kenderaan kecemasan memenuhi jalan berhampiran, selain sebuah khemah besar didirikan ketika polis menjalankan pemeriksaan di kawasan itu.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN