BUDAPEST: Perdana Menteri Hungary, Peter Magyar mencadangkan bekas lagenda catur wanita, Judit Polgar sebagai calon presiden, jawatan yang kini kosong susulan pindaan Perlembagaan yang diluluskan minggu lalu.
Polgar, yang bakal mencecah usia 50 tahun dalam beberapa hari lagi, dianggap sebagai pemain catur wanita terhebat sepanjang zaman dan pernah menduduki ranking pemain wanita nombor satu dunia selama 25 tahun sebelum bersara pada 2014.
“Negara kita memerlukan perpaduan, keamanan dan seorang presiden yang boleh dibanggakan oleh semua rakyat Hungary,” kata Magyar dalam satu hantaran di Facebook, sambil menambah beliau akan bertemu Polgar pada Isnin untuk bertanyakan kesediaannya memegang jawatan berkenaan.
Ahli Parlimen Hungary minggu lalu meluluskan pindaan menyingkirkan Presiden, Tamas Sulyok, sekutu bekas Perdana Menteri, Viktor Orban yang ditewaskan Magyar dalam pilihan raya tahun ini.
Magyar, yang mencatat kemenangan besar pada April lalu dengan janji melakukan ‘perubahan rejim’ selepas 16 tahun pemerintahan Orban, menuduh presiden tidak popular itu serta beberapa pegawai kanan negara lain sebagai ‘boneka Orban’.
Hari terakhir Sulyok sebagai presiden ialah pada Ahad, manakala Speaker Parlimen, Agnes Forsthoffer akan memangku jawatan ketua negara sementara menunggu Parlimen memilih presiden baharu dalam tempoh 30 hari.
Beberapa kumpulan hak asasi manusia mengkritik pindaan Perlembagaan itu, dengan Human Rights Watch menyifatkan perubahan tersebut sebagai langkah yang menyerupai pendekatan era parti Fidesz pimpinan Orban.-AFP










