KAHERAH: Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati pesawat Boeing 727 yang sebelum ini dikaitkan dengan rangkaian perniagaan milik kontraktor tentera Amerika Syarikat (AS) digunakan untuk mengangkut tentera upahan, senjata dan dron bagi Pasukan Sokongan Pantas (RSF) di Sudan.
Menurut draf laporan PBB yang dijadual diterbitkan pada September, penemuan itu memberikan butiran tambahan mengenai peranan pesawat berkenaan dalam menyokong RSF, kumpulan separa tentera yang dituduh penyiasat PBB melakukan pembunuhan beramai-ramai di wilayah Darfur.
“Lembaga Pakar menerima maklumat yang boleh dipercayai daripada empat sumber pesawat itu mengangkut pejuang RSF, tentera upahan serta kelengkapan ketenteraan termasuk dron dan senjata,” menurut laporan itu.
Laporan berkenaan memetik dua saksi di Nyala, hab utama operasi ketenteraan dan logistik RSF di Darfur, serta komunikasi daripada dua negara anggota PBB sebagai sumber maklumat, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Lembaga Pakar PBB turut memaklumkan tiada sebarang rekod pergerakan ketiga-tiga pesawat itu selepas tiba di N’Djamena dan mengesyaki pesawat Boeing berkenaan mengambil “langkah sengaja untuk mengelak dikesan ketika penerbangan.
Siasatan Reuters yang diterbitkan pada 15 Julai lalu menjejaki tiga pesawat Boeing lama yang dikendalikan syarikat berkaitan bekas anggota Pasukan Khas Tentera Darat AS dan kontraktor lama kerajaan AS, Steven Shaulis dari sebuah lapangan terbang di Chad ke hab logistik RSF di Sudan, Libya dan Somalia.
Reuters sebelum ini melaporkan sebuah daripada pesawat berkenaan, iaitu Boeing 737, membawa pejuang RSF ketika musnah pada Mei 2025, namun muatan sebenar pesawat itu masih belum diketahui.
Agensi berita itu tidak menemui bukti Shaulis atau syarikatnya dikenakan sekatan atau dituduh melakukan sebarang kesalahan oleh pihak berkuasa.
Shaulis tidak menjawab pertanyaan mengenai laporan PBB itu dan sebelum ini turut enggan mengulas mengenai syarikatnya atau pesawat Boeing terbabit. RSF juga tidak memberikan sebarang maklum balas.
Laporan yang diteliti Reuters disediakan oleh Lembaga Pakar mengenai Sudan, kumpulan yang diberi mandat oleh Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk memantau sekatan senjata ke atas Darfur yang dikenakan sejak 2004. Draf laporan itu dikemukakan kepada UNSC untuk semakan sebelum diterbitkan.
Perang saudara di Sudan tercetus pada 2023 selepas hubungan antara kepimpinan tentera dan RSF retak berhubung rancangan menggabungkan kedua-dua pasukan semasa peralihan yang gagal kepada kerajaan awam.
Konflik itu dianggarkan mengorbankan ratusan ribu nyawa, selain memburukkan lagi kebuluran dan penularan penyakit sehingga mewujudkan krisis kemanusiaan paling buruk di dunia, menurut PBB.










