NAYPYIDAW: Parlimen Myanmar yang disokong tentera meluluskan satu undang-undang pada Selasa yang membenarkan hukuman mati terhadap individu yang menahan atau memaksa mangsa secara ganas untuk bekerja di pusat penipuan dalam talian, kata Speaker Parlimen, Aung Lin Dwe.
Rang Undang-Undang Antipenipuan Dalam Talian diluluskan selepas ahli-ahli Parlimen menerima pindaan terhadap draf rang undang-undang itu dalam mesyuarat bersama Dewan Rendah dan Dewan Tinggi di Naypyidaw.
Ahli Parlimen Dewan Rendah, Aye Chan mengesahkan kepada AFP bahawa hukuman mati masih dikekalkan dalam versi undang-undang yang telah diluluskan itu.
“Tidak banyak perubahan besar dibuat terhadap draf rang undang-undang yang dicadangkan selepas perbincangan antara Dewan Rendah dan Dewan Tinggi. Bahagian penting rang undang-undang itu kekal sama,” kata Chan.
Draf undang-undang yang diterbitkan pada Mei menyatakan bahawa ia turut memperuntukkan hukuman penjara antara 10 tahun hingga penjara seumur hidup selain hukuman mati.
Ia adalah bagi kesalahan melakukan keganasan, penyeksaan, penahanan atau penangkapan secara haram atau layanan kejam terhadap seseorang bagi tujuan memaksa mereka melakukan penipuan dalam talian.
Jika kesalahan tersebut menyebabkan kematian, hukuman mati hendaklah dikenakan, menurut draf itu.
Draf rang undang-undang itu turut memperuntukkan hukuman maksimum penjara seumur hidup terhadap individu yang mengendalikan pusat penipuan dalam talian. Hukuman itu turut merangkumi kepada mereka yang melakukan penipuan mata wang digital. – AFP










