Lubnan alami kerosakan fizikal bernilai RM16 bilion akibat serangan Israel - Utusan Malaysia

Lubnan alami kerosakan fizikal bernilai RM16 bilion akibat serangan Israel

BEBERAPA bangunan musnah akibat serangan Israel di selatan Lubnan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Menteri Penerangan Lubnan, Paul Morcos pada Isnin berkata, kerosakan fizikal secara langsung akibat perang Israel ke atas Lubnan dianggarkan bernilai antara AS$3 bilion (RM12 bilion)  hingga AS$4 bi­lion (RM16 bilion), lapor Ana­dolu.

Bercakap selepas mesyuarat Kabinet, Morcos berkata, angka itu masih bersifat awal dan tidak termasuk kerugian ekonomi atau kerosakan tidak langsung, menurut agensi berita negara, NNA.

Anggaran itu dibuat ketika tentera Israel terus melakukan pelanggaran harian terhadap perjanjian rangka kerja yang dimeterai dengan Beirut melalui pengantaraan Amerika Syarikat (AS).

Pada Isnin, tentera Israel meletupkan beberapa buah rumah. Israel didakwa bertanggungjawab terhadap letupan di dua bandar di selatan Lubnan, selain meletupkan bahan letupan pada waktu malam di bandar Houla, dalam daerah Marjayoun.

Sejak 2 Mac, serangan Israel di Lubnan telah mengorbankan lebih 4,300 orang dan mence­derakan lebih 12,000 yang lain, menurut angka rasmi.

Sementara itu, Morcos berkata, mesyuarat Kabinet pada Isnin turut membincangkan hasil lawatan lapangan para menteri ke kampung dan bandar di selatan Lubnan, termasuk usaha menyokong kepulangan penduduk ke kawasan masing-ma­sing serta menyediakan tempat perlindungan yang sesuai.

Menurut beliau, menteri-menteri juga membincangkan langkah menyokong keperluan pihak berkuasa tempatan dan sektor ekonomi setempat bagi membantu penduduk kembali ke kediaman mereka, menjelang pelaksanaan usaha pembinaan semula.

Pada 26 Mei, Lubnan dan Israel menandatangani satu perjanjian rangka kerja yang di­meterai menerusi pengantaraan AS, yang memperuntukkan pengunduran tentera Israel dari wilayah Lubnan secara berperingkat.

Bagaimanapun, perjanjian itu tidak menetapkan sebarang garis masa bagi pengunduran penuh tentera Israel. Sebaliknya mengaitkan pengunduran selanjutnya dengan pengambil­alihan tanggungjawab kese­lamatan oleh tentera Lubnan dan pelucutan senjata kumpulan bersenjata bukan kerajaan, termasuk Hizbullah. 

Lubnan menyerang Israel pada 2 Mac lalu selepas rejim Zio­nis dan AS melancarkan serangan ke atas Teheran sehingga menyebabkan Pemimpin Tertingginya, Ayatollah Ali Kha­menei terbunuh. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN