Kolonel tentera Korea Utara dihukum mati kerana seleweng bekalan beras kerajaan - Utusan Malaysia

Kolonel tentera Korea Utara dihukum mati kerana seleweng bekalan beras kerajaan

SEORANG kolonel ditembak mati di hadapan anggota bawahannya di Pyongan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PYONGYANG: Seorang pegawai kanan berpangkat kolonel tentera Korea Utara telah dijatuhi hukuman tembak sampai mati di hadapan anggota bawahannya selepas dituduh menyeleweng bekalan beras rizab kerajaan.

Hukuman tembak itu menyebabkan pegawai-pegawai ba­wahannya amat terkejut dan trauma, menurut sumber laporan Daily NK dari wilayah Pyongan Selatan. Laporan itu menambah bahawa wajah mereka bertukar pucat lesu dan masing-masing beredar tanpa berani bertatap mata antara satu sama lain.

Awal bulan ini, pihak berkuasa menahan kolonel kanan daripada unit pengawal pantai yang berpangkalan di Nampo kerana dituduh mencuri beras rizab tentera dalam jumlah yang besar.

“Beliau dihukum mati oleh skuad penembak pada 12 Julai di hadapan ahli unitnya sendiri,” kata sumber berkenaan.

Beliau dituduh mencuri secara sulit berpuluh-puluh tan beras dari gudang di bawah pe­rintahnya. Kolonel itu didakwa cuba mengangkut bekalan tersebut menggunakan kenderaan ke pelabuhan Nampo. Namun, tindakan itu berjaya dikesan oleh pegawai pengawal gudang yang bertindak melaporkan perbuatannya. Beliau kemudian ditahan dan dibawa ke Biro Keselamatan Tentera untuk disoal siasat.

Kes beliau dirujuk ke mah­kamah tentera dan dijatuhi hukuman maksimum iaitu hukuman mati atas kesalahan mencuri ri­zab bekalan makanan. Beliau didapati melakukan perbuatan itu di tengah-tengah krisis makanan domestik yang melanda negara tersebut.

Berikutan hukuman mati yang dijalankan di lapang sa­sar berhampiran Nampo. Ba­gaimanapun, ketakutan dalam kalangan pegawai kanan tentera dilaporkan mencapai tahap tertinggi susulan insiden tersebut, dakwa Daily NK. 

Susulan kejadian itu, pasukan pemeriksa kini memantau pergerakan masuk dan keluar setiap kapal serta keseluruhan proses pemuatan kargo. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN