OTTAWA: Perdana Menteri, Mark Carney menegaskan Kanada tidak akan berkongsi hasil kutipan tol daripada jambatan baharu bernilai AS$4.7 billion (RM19 bilion) yang menghubungkan bandar Windsor di wilayah Ontario dengan Detroit di Michigan, sehingga negara itu mendapatkan semula kos pelaburan awalnya.
Pembukaan tertangguh Jambatan Gordie Howe yang dibiayai oleh Kanada, telah meningkatkan ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS) serta menyebabkan kerugian ekonomi kepada kedua-dua pihak ketika mereka sedang berusaha mencapai perjanjian perdagangan baharu.
Beberapa ahli politik AS turut tidak berpuas hati dengan cara Kanada mengendalikan isu kebakaran hutan yang masih berterusan.
Minggu lalu, Presiden AS, Donald Trump berkata, beliau telah memperoleh perjanjian yang jauh lebih baik untuk AS bagi membolehkan jambatan itu dibuka pada 27 Julai.
Namun, pihak pembangkang mengkritik Carney kerana didakwa tunduk kepada tekanan AS selepas pegawai Washington berkata, mereka memperoleh pendapatan besar berbanding tidak mendapat sebarang hasil sebelum ini.
Dalam sidang media pada Khamis, Carney berkata, perjanjian asas dengan negeri Michigan berhubung jambatan Gordie Howe masih tidak berubah sejak 2012, apabila Kanada bersetuju menanggung kos pembinaan terlebih dahulu.
Berdasarkan perjanjian itu, Kanada berhak mengutip keseluruhan keuntungan tol sehingga kos pelaburan jambatan tersebut berjaya dipulihkan.
“Sebarang perkongsian hasil tol tidak akan berlaku sehingga semua hutang dilunaskan,” kata Carney.
Beliau berkata, selepas kos operasi seperti penyelenggaraan dan kerja pembersihan salji ditolak, Kanada akan berkongsi hasil bersih dengan AS dalam tempoh 15 tahun pertama operasi jambatan itu.
“Kami menjangkakan selepas mengambil kira kos tersebut, hasil bersih untuk beberapa tahun pertama akan menjadi kecil. Apabila perkongsian hasil bermula, semua bahagian yang diterima kerajaan AS akan dilaburkan semula dalam pembangunan ekonomi,” katanya.
Butiran perjanjian antara Kanada dan AS itu belum didedahkan kepada umum.
Bagaimanapun, dua sumber memberitahu Reuters minggu lalu, satu persetujuan sudah dicapai, dengan AS akan menerima 50 peratus daripada keuntungan hasil tol serta mempunyai kuasa untuk membantah sebarang kenaikan kadar tol melebihi 10 peratus daripada kadar semasa.
Sementara itu, anggota Republikan di Michigan turut mengkritik Carney berhubung pengurusan kebakaran hutan di Kanada selepas asap daripada kebakaran di utara Ontario merebak ke beberapa Kawasan AS dari wilayah Midwest hingga ke timur laut negara itu.
Ahli Dewan Perwakilan negeri Michigan, Jack Bergman, John James, Lisa McClain dan John Moolenaar menuduh kerajaan Kanada gagal menangani kekurangan pelaburan kronik dalam pengurangan kepadatan hutan, pengurangan bahan api serta pembakaran terkawal, selain penguatkuasaan tidak mencukupi terhadap kes pembakaran sengaja.
Menjawab kritikan itu, Carney berkata, AS juga perlu memainkan peranan lebih besar dalam menangani perubahan iklim yang menyebabkan suhu meningkat serta cuaca ekstrem berlaku di seluruh dunia.
“Kita memerlukan sumbangan daripada pihak AS dalam usaha memerangi perubahan iklim. Perubahan iklim adalah tanggungjawab semua pihak, termasuk AS,” katanya.
Pakar Hubungan Antarabangsa di Universiti Carleton, Prof. Fen Hampson berkata, perjanjian jambatan itu merupakan kemenangan buat Kanada.
“Jika anda membuat kiraan bila Kanada mula berkongsi hasil, jumlah yang tinggal untuk dibahagikan tidak akan banyak,” katanya.
Menurut beliau, Carney mendapat manfaat kerana rakyat AS percaya Trump berjaya memaksa Kanada membuat konsesi.
“Lebih baik membiarkan Trump beranggapan beliau memperoleh kemenangan, jika tidak beliau boleh bertindak sangat membalas dendam,” katanya.
Ahli Parlimen pembangkang Parti Konservatif, Shuvaloy Majumdar pula menyifatkan perjanjian itu sebagai ‘perjanjian buruk’ untuk Kanada dalam surat kepada kerajaan minggu lalu.
“Rakyat Kanada berhak mengetahui keseluruhan perjanjian, pengiraan lengkap kosnya dan jawapan jelas mengenai apa yang telah dikorbankan,” tulis Majumdar.










