AMMAN: Tentera Jordan berkata, ia berjaya memintas lapan peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran pada Khamis, manakala Republik Islam itu mendakwa telah menyasarkan sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di negara itu dalam pertukaran serangan baharu antara Teheran dan Washington.
“Dengan menggunakan sistem pertahanan udara, tentera Jordan berjaya memintas dan menembak jatuh lapan peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran ke arah wilayah Jordan hari ini, Khamis,” menurut kenyataan pihak tentera.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pula berkata, mereka telah menyerang pusat arahan dan kawalan Amerika di Asia Barat serta pangkalan udara musuh di Al-Azraq, Jordan, menggunakan 10 peluru berpandu balistik.
IRGC turut memberi amaran bahawa jika tentera pengganas AS mengulangi pencerobohannya, pangkalan-pangkalan tentera AS yang lain di rantau ini tidak akan terlepas daripada serangan hebatnya.
Pelancaran peluru berpandu itu berlaku pada hari kedua berturut-turut berbalas serangan antara AS dan Iran.
Ia termasuk puluhan serangan udara AS ke atas Iran, sekali gus menguji ketahanan gencatan senjata yang rapuh ketika kedua-dua musuh bertelagah mengenai laluan strategik Selat Hormuz.
Tentera Jordan berkata bahawa tindakan memintas peluru berpandu itu menyebabkan serpihan jatuh di beberapa lokasi. Namun, tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan.
Pihak tentera turut menegaskan bahawa mereka tidak akan membenarkan sebarang pencabulan ruang udara Jordan oleh mana-mana pihak.
Terdahulu pada Khamis, jurucakap kerajaan Jordan, Mohammad al-Momani berkata, siren amaran dibunyikan selepas ruang udara negara itu diceroboh oleh peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran, sebelum semuanya berjaya dipintas.
Ini merupakan kali pertama Jordan mengumumkan berjaya memintas peluru berpandu Iran sejak 11 Jun, apabila tenteranya memaklumkan telah menembak jatuh 20 peluru berpandu selepas IRGC mendakwa menyasarkan sebuah pusat arahan tentera Amerika di Jordan sebagai tindak balas terhadap serangan AS ke atas Iran.
Kawasan Al-Azraq menempatkan sebuah pangkalan udara Jordan yang sebelum ini digunakan oleh tentera AS, Jerman, Belgium dan Perancis sebagai sebahagian daripada kempen menentang kumpulan Daesh. – AFP










