ISF hantar kenderaan taktikal pertama ke Gaza

ISF hantar kenderaan taktikal pertama ke Gaza

DONALD Trump dan Naib Presiden AS, JD Vance duduk bersama anggota Lembaga Keamanan semasa mesyuarat sulung di Institut Keamanan AS di Washington 19 Februari lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Lembaga Keamanan mengumumkan ketibaan kumpulan pertama kenderaan taktikal di pangkalan sokongan logistik berhampiran Semenanjung Gaza, ketika persiapan diteruskan bagi penempatan Pasukan Keselamatan Antarabangsa (ISF) di wilayah berkenaan.

Dalam kenyataan di platform X, lembaga itu memaklumkan kenderaan berkenaan tiba di Kawasan Sokongan Logistik: Endurance, tanpa memberikan butiran lanjut mengenai jumlah aset yang dihantar.

Wartawan i24news, Ariel Oseran, turut melaporkan di X, kenderaan taktikal itu tiba di sebuah pangkalan berhampiran Kerem Shalom di selatan Gaza yang bakal menempatkan pasukan ISF, memetik sumber daripada Lembaga Keamanan.

Sementara itu, jurucakap Hamas, Hazem Qassem berkata, pihaknya berharap langkah tersebut menjadi permulaan kepada pelaksanaan tanggungjawab pasukan berkenaan, termasuk usaha memisahkan penduduk Palestin di Gaza daripada Israel serta menghentikan pelanggaran oleh pasukan rejim.

Beliau turut menyeru Lembaga Keamanan supaya segera melaksanakan peruntukan pelan damai yang bertujuan menamatkan konflik di Gaza.

Katanya, ia harus merangkumi pengenalan jawatankuasa kebangsaan yang bertanggungjawab mentadbir kawasan tersebut, menyampaikan bantuan sebenar, memaksa Israel berundur serta melancarkan usaha pembinaan semula.

Qassem berkata, pembinaan semula adalah hak asas semua rakyat Palestin yang berada di Semenanjung Gaza.

Pada masa sama, delegasi Hamas dilaporkan tiba di Kaherah kelmarin bagi mengadakan perbincangan dengan pegawai Mesir dan pihak pengantara mengenai pelaksanaan perjanjian gencatan senjata Gaza.

Lembaga Keamanan ditubuhkan pada Januari atas inisiatif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai sebahagian daripada usaha mencapai penyelesaian damai di Gaza.

Mesyuarat pertama lembaga itu mengenai Gaza diadakan pada 19 Februari lalu di Institut Keamanan AS di Washington di bawah kepemimpinan Trump.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN