TEHERAN: Iran melancarkan beberapa peluru berpandu balistik dalam satu cubaan serangan mengejut terhadap tentera Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat, sekali gus menamatkan tempoh bertenang dalam konflik antara kedua-dua negara.
Menurut Markas Pusat AS (CENTCOM), serangan itu berlaku pada pukul 5.45 petang (waktu tempatan) pada Selasa, namun semua peluru berpandu berjaya dipintas tanpa menyatakan lokasi sasaran.
Setakat ini, Teheran masih belum mengulas mengenai dakwaan tersebut.
Serangan berkenaan didakwa berlaku ketika kedua-dua negara sedang menghentikan sementara permusuhan bagi membuka ruang kepada rundingan disambung semula.
“Pada pukul 5.45 petang waktu Timur hari ini, pasukan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) melancarkan beberapa peluru berpandu balistik dari Iran dalam cubaan serangan mengejut terhadap tentera AS yang berpangkalan di Asia Barat.
“Semua peluru berpandu Iran berjaya dipintas,” kata CENTCOM menerusi platform X tanpa memperincikan kawasan yang menjadi sasaran.
Kedua-dua pihak sebelum ini menghentikan serangan sepanjang hujung minggu selepas hampir dua minggu AS melancarkan serangan setiap malam ke atas Iran, manakala Teheran pula berulang kali melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke arah sekutu Washington di rantau Teluk.
Peningkatan ketegangan pada pertengahan Julai itu tercetus selepas Iran menyerang beberapa kapal yang melalui Selat Hormuz.
Harga minyak dunia sebelum ini menjunam susulan penghentian sementara pertempuran pada hujung minggu serta kenyataan Presiden AS, Donald Trump bahawa terdapat peluang yang baik untuk mencapai kemajuan dalam rundingan bagi menamatkan perang.-AFP










