Iran kebumi Khamenei di kampung halaman ketika AS tingkatkan serangan

Iran kebumi Khamenei di kampung halaman ketika AS tingkatkan serangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASHHAD: Iran bersiap sedia untuk mengebumikan bekas pemimpin tertingginya yang terbunuh, Ayatollah Ali Khamenei di kampung halamannya di Mashhad, timur laut Iran, pada Khamis ketika siri serangan baharu Amerika Syarikat (AS) mengancam mencetuskan peningkatan semula konflik di Asia Barat.

Pengebumian Khamenei diadakan selepas upacara penghormatan terakhir yang berlangsung selama beberapa hari dan menarik kehadiran jutaan orang di pelbagai bandar di Iran dan Iraq.

Namun ketika upacara itu memasuki hari terakhir, AS melancarkan serangan baharu ke atas Iran sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal-kapal di laluan perkapalan strategik Selat Hormuz.

Khamenei terbunuh pada 28 Februari, iaitu hari pertama serangan bersama AS dan Israel yang mencetuskan perang di Asia Barat.

Selepas perarakan penghormatan yang berlangsung di bandar suci Najaf dan Karbala di Iraq pada Rabu, jenazah beliau dijadual dikebumikan di bandar suci Mashhad.

Pemerhati turut memberi perhatian terhadap anak dan penggantinya, Mojtaba Khamenei, yang sehingga kini masih belum muncul di khalayak umum dan dilaporkan cedera dalam serangan sama yang meragut nyawa bapanya.

Gabenor Mashhad, Hassan Hosseini, dipetik televisyen negara berkata, beliau menjangkakan 15 juta orang akan menghadiri upacara pengebumian Khamenei.

Upacara itu pada asalnya dijadual bermula pada pukul 6 pagi (waktu tempatan), namun media tempatan kemudian melaporkan penganjur menangguhkannya ke pukul 2 petang (waktu tempatan) berikutan majlis penghormatan di Iraq berlanjutan lebih lama daripada yang dijadualkan.

Menurut agensi berita rasmi IRNA, Khamenei akan dikebumikan pada petang Khamis di Makam Imam Reza, lokasi ibadat paling suci di Iran. Imam Reza merupakan satu-satunya daripada 12 imam Syiah yang dikebumikan di Iran.

Rangkaian upacara pengebumian Khamenei merangkumi beberapa lokasi yang melambangkan asas keagamaan, politik dan ideologi Republik Islam Iran.

Ketua Staf Khamenei, Mohammad Mohammadi-Golpaygani menerusi televisyen negara  berkata, Khamenei sendiri pernah menyatakan hasrat untuk dikebumikan di Mashhad.

Beberapa tokoh penting turut disemadikan di kompleks makam itu sejak berabad-abad lalu, termasuk beberapa bekas Shah Iran serta bekas Presiden Iran, Ebrahim Raisi.

Upacara penghormatan setakat ini menghimpunkan jutaan orang di pelbagai bandar, bermula dengan tempoh tiga hari penghormatan terakhir di ibu negara Teheran.

Republik Islam Iran berharap upacara itu dapat mempamerkan kekuatan dan perpaduan negara susulan perang di Asia Barat serta enam bulan selepas tindakan keras terhadap protes antikerajaan.

Khamenei, yang memimpin Iran sejak 1989, terbunuh pada usia 86 tahun bersama beberapa ahli keluarganya serta pegawai kanan kerajaan dalam serangan Israel.

Selepas upacara penghormatan di Teheran, jenazah Khamenei dibawa ke bandar keagamaan Qom pada Selasa, kemudian ke Iraq pada Rabu sebelum dibawa pulang ke Mashhad untuk dikebumikan pada Khamis.

Beliau akan disemadikan bersama cucu perempuannya yang masih bayi; menantu lelakinya; anak perempuannya serta isteri Mojtaba Khamenei, Zahra Haddad Adel, yang turut terbunuh dalam serangan pada 28 Februari.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN