TEHERAN: Media kerajaan Iran pada Khamis melaporkan sebuah peluru berpandu yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel mengenai sebuah ibu pejabat tentera di pinggir Bushehr, beberapa jam selepas pertempuran antara AS dan Iran kembali memuncak.
“Beberapa ketika lalu, sebuah ibu pejabat tentera di pinggir Bushehr telah diserang dan terkena peluru berpandu musuh Amerika-Zionis,” menurut agensi berita rasmi IRNA yang memetik Timbalan Gabenor Bushehr, Ehsan Jahanian.
Bagaimanapun, seorang pegawai pertahanan AS berkata, tentera AS ketika ini tidak menjalankan sebarang serangan terhadap Iran.
Walaupun Washington dan Teheran telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata dan menandatangani memorandum persefahaman ke arah perjanjian damai jangka panjang, Khamis menyaksikan malam kedua berturut-turut kedua-dua pihak saling melancarkan serangan.
Markas Pusat AS (CENTCOM) berkata, pihaknya telah menyerang kira-kira 90 sasaran ketenteraan, manakala Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memaklumkan mereka telah melancarkan serangan balas terhadap pangkalan tentera AS di Kuwait dan Bahrain. – AFP










