TEHERAN: Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) berkata pada Khamis bahawa mereka telah menyerang pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Bahrain dan Kuwait sebagai tindak balas terhadap serangan terbaharu Amerika, menurut kenyataan yang disiarkan oleh televisyen Perbadanan Penyiaran Republik Islam Iran (IRIB).
Menurut IRGC, mereka menyasarkan infrastruktur dan kemudahan utama di pangkalan tentera AS di Arifjan dan Ali Al Salem di Kuwait.
Katanya, ia juga menyasarkan pangkalan tentera AS di Juffair dan Sheikh Isa di Bahrain menggunakan peluru berpandu dan dron.
Ia turut memberi amaran bahawa tindak balas Iran akan diperluaskan kepada pangkalan-pangkalan Amerika lain di seluruh rantau itu sekiranya serangan AS berulang.
Tentera AS melancarkan serangan terhadap Iran pada Selasa sebagai tindak balas kepada seranganTeheran ke atas tiga buah kapal di Selat Hormuz, menurut pihak tentera AS.
Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April selepas perang Iran bermula pada 28 Februari apabila AS bersama Israel menyerang Teheran.
Namun, pertempuran berskala kecil masih berterusan di rantau Teluk, termasuk serangan terhadap kapal oleh pasukan Iran dan serangan Amerika ke atas Iran. – AFP/AGENSI










