ICE henti sekatan jalan raya selepas dua kes tembakan maut

ICE henti sekatan jalan raya selepas dua kes tembakan maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) Amerika Syarikat (AS) menggantung tindakan menahan kenderaan di jalan raya bagi menahan golongan imigran susulan dua insiden tembakan maut yang melibatkan ejen agensi berkenaan, lapor media tempatan.

Menurut laporan The Wall Street Journal dan beberapa agensi berita lain, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri mengarahkan pegawai ICE agar tidak menghentikan kenderaan yang sedang bergerak untuk menangkap atau menyoal siasat individu di dalamnya.

Langkah tersebut diambil selepas seorang ejen menembak mati seorang lelaki warga Colombia berusia 26 tahun di Maine pada Isnin.

Jurucakap ICE memaklumkan kenderaan terbabit cuba melarikan diri dari tempat kejadian dan seorang pegawai telah melepaskan tembakan ekoran bimbang akan keselamatan awam.

Kumpulan hak asasi manusia mengenal pasti mangsa sebagai Joan Sebastian Guerrero, seorang pemandu penghantar barang yang mempunyai permit sah untuk bekerja di AS serta tinggal bersama isteri dan anak perempuannya yang berusia tiga tahun.

Pemimpin Colombia, Gustavo Petro yang juga pengkritik tegar terhadap tindakan keras imigresen oleh Presiden Donald Trump, menyifatkan insiden itu sebagai pembunuhan seorang warga Colombia Amerika Latin di tangan kerajaan AS.

“Mereka membunuhnya kerana mereka percaya beliau adalah seorang insan bawahan yang tidak mempunyai hak,” tulis Petro menerusi hantaran di platform X.

Pada minggu lalu, seorang ejen ICE turut menembak mati Lorenzo Salgado, seorang warga Mexico berusia 52 tahun semasa satu operasi dijalankan di Texas.

Pihak berkuasa imigresen mendakwa Salgado menjadikan kenderaannya sebagai senjata dalam cubaan untuk merempuh pegawai penguat kuasa ICE, menyebabkan pegawai melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.

Bagaimanapun, beberapa saksi mempertikaikan kenyataan tersebut dan menyatakan ejen terbabit tidak pernah berada tepat di hadapan kenderaan berkenaan.

Ejen-ejen ICE yang lengkap bersenjata dan ditugaskan untuk melaksanakan tindakan keras imigresen di bawah pentadbiran Trump, kini berdepan kecaman hebat di seluruh negara ekoran taktik agresif mereka, serta penglibatan dalam kes tembakan maut dua warganegara AS di Minneapolis pada tahun ini. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN