Hakim AS batalkan perjanjian cukai Trump bernilai RM7.34 bilion - Utusan Malaysia

Hakim AS batalkan perjanjian cukai Trump bernilai RM7.34 bilion

DONALD Trump gagal dalam kes penyelesaian IRS. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seorang hakim Amerika Syarikat (AS) pada Isnin bertindak membatalkan perjanjian penyelesaian antara Donald Trump dan Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS) yang sebelum ini memberikan perlindungan menyeluruh kepada presiden itu serta sekutunya daripada sebarang audit cukai. 

Hakim memutuskan bahawa tuntutan saman berhubung kebocoran penyata cukai beliau difailkan atas tujuan yang tidak wajar.

Trump, dua anak lelaki sulungnya dan Trump Organisation sebelum ini menyaman IRS sebanyak AS$10 bilion (RM40.7 bilion) berhubung pendedahan rekod sulit oleh bekas kontraktor agensi berkenaan kepada beberapa organisasi berita.

Kes tersebut berakhir pada Mei lalu dengan satu perjanjian kontroversi, yang mana ia memberikan perlindungan menyeluruh kepada Trump, keluarganya dan perniagaan sekutu daripada pemeriksaan serta tuntutan cukai sedia ada.

Perjanjian itu juga menubuhkan satu program bernilai AS$1.8 bilion (RM7.34 bilion) yang dibiayai oleh pembayar cukai untuk memberi pampasan kepada individu yang mendakwa mereka menjadi sasaran siasatan kerajaan atas motif politik, walaupun langkah tersebut yang dicerca sebagai ‘dana rasuah untuk penjenayah’ kemudian dibatalkan.

Hakim Daerah, Kathleen Williams menyatakan bahawa tidak pernah wujud pertikaian undang-undang yang tulen antara Trump dan IRS kerana sebagai presiden, beliau secara efektif mengawal agensi tersebut dan Jabatan Perbendaharaan.

“Memandangkan fakta ini amat jelas dan tidak boleh disangkal, mahkamah mendapati bahawa perkara ini dibawa atas tujuan yang tidak wajar untuk mendapatkan cop kelulusan legitimasi kehakiman bagi satu ‘penyelesaian’ yang tidak mempunyai asas yang kukuh dari segi undang-undang mahupun fakta,” kata Williams.

Beliau turut menuduh kerajaan mengabaikan tanggungjawabnya untuk mempertahankan kepentingan awam.

William menyatakan bahawa pegawai-pegawai Jabatan Keadilan telah mengetepikan dasar dan mengejar objektif yang melebihi malah dalam sesetengah keadaan melanggar kuasa undang-undang mereka.

Susulan itu, hakim telah merujuk salah seorang peguam peribadi Trump yang terlibat dalam meluluskan penyelesaian tersebut kepada pihak berkuasa tatatertib perundangan. – AGENSI/AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN